Sekatan Import Produk Minyak Sawit Jejas Eksport Malaysia Ke India

KUALA LUMPUR – Momentum eksport Malaysia ke India yang kukuh ketika ini mungkin terjejas dengan ketara jika negara itu melaksanakan sekatan terhadap import produk berkaitan minyak sawit, menurut Ram Ratings.

Ini kerana minyak sawit merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan secara menyeluruh permintaan import India dari Malaysia pada tahun ini.

“Eksport minyak sawit ke India meningkat hampir 70 peratus dalam tempoh lapan bulan pada 2019 dengan sumbangan positif sebanyak 11.0 mata peratusan.

“Sektor berkaitan minyak sawit Malaysia juga secara khususnya terdedah kepada langkah perdagangan diambil oleh India berdasarkan kepentingan negara itu sebagai destinasi eksport,” katanya dalam kenyataan.

Agensi penarafan itu berkata, sektor minyak sawit, bersama-sama dengan industri logam bakal merosot dengan ketara kerana eksport masing-masing ke India sebanyak 10.4 peratus dan 10.8 peratus daripada jumlah eksport sektor itu pada 2018.

Sehubungan itu, RAM Ratings menjangkakan eksport Malaysia menurun 0.6 peratus pada September (Ogos: – 0.8 peratus).

Begitu juga import dijangka menguncup 0.4 peratus, walaupun mencatatkan pemulihan ketara selepas menyusut sebanyak 12.5 peratus pada Ogos. Ini akan menjadikan lebihan perdagangan keseluruhan Malaysia kepada RM15.3 bilion pada akhir bulan.

Reuters baru-baru ini melaporkan kerajaan India mungkin mempertimbangkan mengenakan sekatan perdagangan ke atas barangan Malaysia susulan ucapan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Kashmir baru-baru ini.

Loading...