Sekarang Masa Terbaik Gencatan Politik – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Semua ahli politik disarankan supaya melakukan gencatan politik sebagai usaha memikirkan penyelesaian terbaik bagi mensejahterakan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sekarang masa terbaik untuk semua meletakkan perbezaan ke tepi demi memberikan penumpuan kepada Agenda Perdamaian Nasional.

Asyraf Wajdi berkata, apa dimaksudkan Agenda Perdamaian Nasional bukan bermakna mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.

“Sebaliknya Agenda Perdamaian Nasional ini memberikan keutamaan kepada parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan tajam dalam soal perebutan kuasa.

“Agenda Perdamaian Politik juga manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti siasah untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar perebutan takhta tetapi benar-benar untuk membantu rakyat,” katanya dalam hantaran di Facabook beliau, hari ini.

Asyraf berkata, perlu ada iltizam politik, komitmen politik dan kejujuran politik jitu untuk menjayakan agenda ini secara bersama.

“Jangan nanti kita dihukum rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung,” katanya.

Beliau menjelaskan senario semasa benar-benar meresahkan semua pihak apabila kes COVID-19 kian meningkat, rakyat makin susah, ekonomi negara makin menguncup, pengangguran makin memuncak dan ramai hilang punca pendapatan bahkan yang miskin.

Katanya, ramai yang beliau temui menyatakan kebimbangan dengan ‘unprecedented phenomenon’ atau fenomena unik yang tidak pernah dialami, begitu mencabar dan mengancam kesejahteraan semua. – BH Online

Loading...