Sejumlah RM925 Juta Dana 1MDB Dikembalikan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mengumumkan sejumlah RM925.1 juta dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) telah dikembalikan kepada kementerian itu.

Daripada jumlah tersebut RM6.1 juta dikembalikan kepada Yayasan 1MDB.

Bagaimanapun menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, jumlah RM925 juta itu tidak termasuk hasil jualan kapal super mewah, Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd. dengan harga AS$126 juta (kira-kira RM527.4 juta).

Ini kerana hasil jualan yang diterima sepenuhnya pada 23 April lalu disimpan dalam Sheriff’s Stakeholder Account (dalam sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui perintah mahkamah.

Jelasnya, baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat akan didepositkan ke dalam Akaun Pemulihan 1MDB atau Kementerian Kewangan pada Ogos ini.

Wang tersebut akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB, ujarnya.

Menurut Guan Eng, dana berjumlah RM92.3 juta telah diterima dari Singapura, RM805.8 juta dari Amerika Syarikat (Park Lane Hotel, Manhattan- RM567.8 juta dan Syraikat produksi filem Red Granite- RM238 juta) manakala sumber dari Malaysia pula sebanyak RM27 juta (dikembalikan kepada Yayasan 1MDB sebanyak RM6.1 juta dan kepada 1MDB sebanyak RM20.9 juta).

“RM925 juta dana berkaitan 1MDB dikembalikan setakat ini kepada Kementerian Kewangan, hasil usaha pihak berkuasa negara.

“Pihak berkuasa negara, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara, berserta dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara, sedang meneruskan usaha agar dana yang diselewengkan dapat dikembalikan untuk membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion, termasuk faedah pinjaman akan datang, yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

“Organisasi dan parti-parti politik Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA, dan SUPP telah menerima dana yang berpunca daripada 1MDB.

“Kini akaun bank parti- parti politik tersebut telah pun dibekukan oleh SPRM, dalam usaha mendapatkan kembali dana tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, Yayasan 1MDB masih belum menerima sebarang bayaran daripada Koperasi  Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi).

Katanya, pada 16 Ogos 2012, satu perjanjian Financial Grant antara Yayasan 1MDB dan Kojadi untuk jumlah sebanyak RM15 juta telah ditandatangani sebelum wang tersebut diserahkan kepada koperasi berkenaan.

“Jelas sekali, Kojadi dipengaruhi oleh parti politik MCA. Campur tangan MCA dalam urusan Kojadi disahkan sendiri oleh Pengerusi Kojadi, Datuk Ng Peng Hay, yang juga seorang bekas ADUN MCA dari Melaka.

“Kojadi perlu mengambil iktibar daripada usaha berani Pengerusinya untuk memulangkan semula wang kepada Yayasan 1MDB demi membersihkan nama Kojadi.

“Pada akhir bulan Jun, Pengerusi Kojadi menyatakan beliau dihalang oleh Presiden MCA daripada usaha memulangkan RM15 juta kepada Yayasan 1MDB.

“Pada 3 Julai 2019, SPRM telah membekukan akaun bank Kojadi yang  berkenaan.

“Pada 9 Julai, Pengerusi Kojadi digantung jawatannya oleh Lembaga Pengarah Kojadi akibat tindakan beliau yang jujur.

“Komitmen Pengerusi Kojadi untuk melakukan perkara yang betul dengan berusaha memulangkan wang kepada Yayasan 1MDB, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai tindakan ke atasnya, harus dipuji,” katanya lagi.