Sejak Bilakah Anda Beriman?

SEJAK kanak-kanak hingga dewasa, penulis sering kali mendengar daripada guru agama Islam dan pendakwah yang mengatakan bahawa manusia sudah mengenal Tuhan, Sang Pencipta manusia sejak masih berupa janin dalam rahim ibu. Hal ini dibuktikan dengan adanya dialog antara Tuhan dengan janin di dalam rahim. “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Dialog tersebut dijadikan dalil bahawa sejak dalam kandungan, manusia sudah menyedari keesaan Tuhan sebagai dasar keimanan seseorang, sehingga tidak ada alasan bagi manusia ketika dia hidup di dunia untuk mensyirikkan Tuhan meskipun keluarga dan persekitarannya ialah orang-orang kafir-musyrik. Pada dasarnya, manusia sudah mengenal Tuhan dan telah menyedari keesaan-Nya sejak mereka berada dalam kandungan dan sudah menjadi fitrah manusia untuk mengetahui siapa Penciptanya.

Demikianlah ajaran spiritual yang difahami oleh majoriti umat Islam di dunia secara turun temurun. Ajaran tersebut juga bersemayam puluhan tahun lamanya dalam diri penulis, hingga akhirnya penulis mulai merenung, terus berfikir dan memberanikan diri untuk menembusi ajaran agama tersebut. Penulis mula bertanya persoalan-persoalan sederhana yang mencuit akal kesedaran penulis. Bagaimanakah mungkin janin yang belum sempurna proses penciptaannya dapat berdialog dengan Tuhan di dalam perut ibunya? Bukankah si janin masih bergantung sepenuhnya pada ibunya? Sedangkan janin hanya dapat mendengar suara dengan bantuan pendengaran ibunya, bagaimanakah mungkin dialog yang terjadi tidak disedari oleh sang ibu? Bukankah seseorang dapat mengetahui atau mengenal sesuatu kerana adanya proses belajar, bukannya sesuatu yang tiba-tiba wujud dalam kesedaran seseorang? 

Secara spiritual, Tuhan Yang Maha Mengetahui tidak mungkin atau mustahil menurunkan wahyu yang saling bertentangan antara satu ayat dengan ayat lainnya kepada Rasul-Nya. Kalaupun secara tertulis ada beberapa ayat yang kelihatan berbeza, sesungguhnya ayat itu bukanlah hal yang berbeza dan bertentangan. Justeru di sinilah letaknya rahsia dan keindahan ayat-ayat Tuhan. Dia bukanlah Tuhan yang pelupa tetapi Dia menurunkan firman-Nya secara beransur-ansur sesuai keadaan lingkungan sosial. Hal ini dilakukan demi kepentingan orang-orang beriman kerana setiap ayat yang diwahyukan harus dapat difahami dengan benar dan dilaksanakan dengan benar pula. Bayangkan jika firman Tuhan diturunkan sekali gus, betapa berat dan susahnya orang-orang beriman untuk memahami dan melaksanakan firman-firman-Nya itu. Ayat-ayat yang kelihatan bertentangan sebenarnya adalah ayat-ayat yang saling menguatkan. Terpulang pada kemampuan manusia untuk menghurai dan mencari titik temu daripada ayat-ayat tersebut. Sesungguhnya ayat-ayat Al-Quran ialah rangkaian cerita yang tersusun indah menjadi satu bacaan senario dari Sang Pengatur kehidupan alam semesta, sehinggakan satu cerita dengan cerita lainnya merupakan episod yang berkesinambungan sehinggalah pengakhiran. 

Demikian halnya jika kita ingin meneliti dan melakukan penilaian daripada dialog tersebut dari sudut pemahaman agama. Pemahaman ayat ini tidaklah mungkin berbeza dan bertentangan dengan pemahaman ayat-ayat lainnya, tetapi pastinya harus saling menguatkan. Jika terjadi salah faham pada ayat-ayat tersebut, maka yang salah bukanlah firman-firman (ayat-ayat) Tuhan, tetapi pemahaman dan pentafsiran manusialah yang salah. Inilah landasan yang pertama yang harus kita persetujui. 

Kedua, manusia ialah makhluk yang berfikir. Oleh kerananya, Tuhan selalu menyuruh orang-orang beriman untuk berfikir, merenung dan mengkaji segala yang ada dalam kehidupan ini. Tuhan sangat senang dengan orang-orang yang ingin memaksimumkan sarana berfikir yang telah diberikan-Nya secara khusus kepada manusia. Sebaliknya, Tuhan sangat murka kepada orang-orang yang tidak mahu menggunakan akal fikirannya. Al-Quran ialah kitab petunjuk bagi orang-orang yang berakal iaitu orang-orang yang ingin memaksimumkan penggunaan akal fikirannya agar dapat memahami apa yang menjadi kehendak dan rencana Tuhan untuk dirinya dan alam sosial manusia. 

Sekiranya Tuhan mengehendaki, tentulah semua manusia yang di muka bumi ini akan beriman. Persoalannya, apakah kita akan memaksa manusia lain untuk menjadi orang beriman? Tidak ada seorang pun manusia akan beriman kecuali dengan izin Tuhan; dan Tuhan menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak menggunakan akalnya.

Menjadi orang beriman ialah sesuatu yang tidak boleh dipaksakan apalagi diwariskan kepada sesiapa pun kerana iman itu merupakan anugerah Tuhan. Salah satu syarat untuk mendapat anugerah tersebut ialah dengan menggunakan akal. Untuk menjadi manusia beriman harus menggunakan akal, bukan kerana warisan atau hanya perasaan menurut pandangan sendiri. 

Penulis hanya ingin menegaskan bahawa dalam prinsip wahyu Tuhan, tidak ada ayat-ayat dalam Al-Quran yang saling bertentangan dan tidak ada pula ayat-ayat Tuhan yang kontra dengan akal fikiran manusia. Semua ayat Al-Quran bersifat ilmiah dan alamiah. Jadi apakah hubungannya dengan ajaran agama tersebut? 

Untuk lebih jelasnya, mari renungkan kembali penyataan bahawa Tuhan telah mengeluarkan keturunan anak-anak Adamdari sulbi mereka dan telah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka dengan firman-Nya “Bukankah Aku ini Rabbmu?”. Jawapan yang diberikan oleh mereka (keturunan anak-anak Adam) ialah “Betul (Engkau Rabbkami), kami menjadi saksi”. Hal pengambilan kesaksian itu dilakukan supaya pada hari kiamat nanti, manusia tidak mengatakan bahawa mereka ialah orang-orang yang lalai terhadap keesaan Tuhan atau manusia akan mengatakan bahawa orang-orang tua mereka telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedangkan mereka pula ialah anak-anak keturunan yang datang sesudah itu. Maka nanti mereka akan bertanya mengapa Tuhan mahu membinasakan mereka kerana perbuatan orang-orang tua mereka yang sesat sejak dahulu. 

Dengan menggunakan dua prinsip wahyu di atas sebagai dasar memahami wahyu Tuhan, mari kita renungi dan fahami maksud firman Tuhan tersebut. Setidak-tidaknya ada beberapa kata kunci yang harus dinilai daripada ayat-ayat di atas. 

Pertama, tentang perkataan ‘Bani Adam’ yang sering diterjemahkan sebagai ‘Keturunan Adam’. Tentu saja Adam yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Nabi Adam. Antara kisah Nabi Adam ialah tentang Nabi Adam yang telah tergoda oleh tipuan manusia setan yang dikenali dengan nama Iblis. Iblis berserta kelompoknya ialah komuniti yang dijadikan alat oleh Tuhan untuk menguji keyakinan dan ketaatan (keimanan) Adam dan para pengikutnya. Dengan demikian, kata ‘Bani Adam’ lebih tepat diertikan dengan keturunan generasi spiritual (iman) Nabi Adam, BUKAN keturunan biologi Nabi Adam seperti yang difahami selama ini. 

Bani Adam ialah musuh ideologi Bani Iblis, sebagaimana Nabi Nuh menjadi musuh Raja Kanaan (Duramsyil bin Fumail), Nabi Ibrahim ialah musuh Raja Namrud, Nabi Musa ialah musuh Raja Firaun, Nabi Isa ialah musuh Raja Herodes dan Nabi Muhammad pula ialah musuh Abu Jahal. Jika ‘Bani Adam’ difahami dengan seluruh umat manusia sebagai generasi biologi Nabi Adam kerana dianggap sebagai manusia pertama di dunia, maka kepada siapakah peringatan Tuhan tersebut ditujukan? Bukankah pada ayat tersebut Tuhan melalui Rasulullah Muhammad berbicara kepada orang-orang beriman, bukannya kepada seluruh masyarakat Mekah? Ayat-ayat tersebut diwahyukan supaya Rasulullah Muhammad dan orang-orang beriman dapat menjaga ketaatan mereka dari berbagai-bagai tipu daya setan iaitu musuh orang-orang beriman seperti yang pernah terjadi pada diri Nabi Adam as. berserta umatnya.

Tuhan telah ‘menurunkan’ kepadagenerasi spiritual Nabi Adam pakaian untuk menutup aurat dan pakaian indah untuk perhiasan. Namun yang paling baik ialah pakaian takwa. Kesemua itu ialah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Tuhan dan mudah-mudahan mereka selalu ingat. 

Tuhan juga menyeru kepada generasi spiritual Adam agar berhati-hati dengan syaitan. Jangan sekali-kali mereka dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana syaitan telah berjaya menipu orang-orang terdahulu sehingga mereka dikeluarkan dari tempat yang aman (jannah). Syaitan menipu orang-orang terdahulu dengan cara memujuk mereka agar menanggalkan ‘pakaian’ yang menutupi ‘aurat’ mereka. Syaitan itu mempunyai pengikut-pengikut yang bersama-sama dengannya dan mereka sentiasa memerhati pergerakan generasi spiritual Adam secara sembunyi-sembunyi. Sesungguhnya syaitan-syaitan itu merupakan pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman. 

Sangatlah jelas bahawa yang dimaksudkan dengan kata ‘Bani Adam’ dalam Al-Quran ialah generasi spiritual (iman) Nabi Adam, bukan generasi biologi Nabi Adam. Apa yang terjadi pada kisah Adam dan pengikutnya harus menjadi pelajaran (ilmu) bagi Rasulullah Muhammad dan orang-orang beriman. Hal ini dapat dimaklumi kerana prinsip iman dari seluruh Nabi dan Rasul Tuhan adalah satu dan sama, yakni prinsip tauhid, Lā ilaha illa Allah, tidak ada ketaatan dan kepatuhan (pengabdian) selain kepada Tuhan, Tuhan semesta alam. 

Tuhan tidak mengutus seorang rasul pun sebelum Muhammad melainkan telah diwahyukan kepada mereka bahawa tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Dia dan sekalian manusia hendaklah mengabdi kepada-Nya.

Kedua, kata ‘kesaksian’ dan ‘kami menjadi saksi’ yang sama-sama menitikberatkan pada kata ‘saksi’. Daripada kalimat inilah muncul ajaran bahawa manusia sudah bersyahadat (bersaksi) sejak dalam kandungan. Kalimat “Dan Tuhan mengambil kesaksianterhadap diri mereka(seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Rabbmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Rabbkami), kamimenjadi saksi”. 

Cuba renungkan, adakah mungkin kejadian dan dialog antara Sang Pencipta yang meminta pengakuan daripada sang janin tersebut terjadi dalam rahim ibu? Apakah janin itu sudah pernah bertemu dengan Tuhan sehingga mampu memberi kesaksian bahawa Tuhan ialah Rabb? Ajaran agama lagi-lagi akan menyokongnya dan berkeras mengatakan bahawa hal tersebut ialah sesuatu yang fitrah pada setiap proses penciptaan manusia dan sebahagian daripada kekuasaan Tuhan. Kita lupa bahawa sesuatu yang fitrah itu ialah ciptaan Tuhan juga, terjadi secara alamiah dan mustahil bertentangan dengan hukum Tuhan yang ilmiah (rasional) dan alamiah (natural). 

Secara fakta, dalam kehidupan umat manusia, seseorang yang boleh diambil kesaksiannya atau menjadi saksi ialah orang-orang yang berakal, dewasa dan mereka yang mengetahui (melihat atau mendengar) secara langsung tentang hal yang akan dipersaksikannya. Adakah mungkin Tuhan bertanya kepada sesuatu yang masih berupa janin, bukan kepada manusia yang sudah sempurna fizikal dan rohaninya? Orang-orang yang bersedia menjadi saksi atau diambil kesaksiannya ialah mereka yang sudah mampu memaksimumkan pendengaran, penglihatan dan akal fikirannya. Bagaimanakah mungkin janin dapat menjadi saksi? Peristiwa dan dialog spiritual tersebut hanya dapat dilakukan antara Tuhan dengan generasi spiritual Adam yang sudah mampu mensyukuri pendengaran, penglihatan dan akal fikirannya untuk memahami ayat-ayat Tuhan yang terdapat pada alam ciptaan-Nya (ayat-ayat kauniyah)dan ayat-ayat Tuhan yang terdapat pada Kitab Suci-Nya (ayat-ayat qauliyah), sehinggakan mereka boleh menjadi saksi. Mereka itulah generasi spiritual (iman) Nabi Adam as. yang digelar oleh Tuhan dengan panggilan ‘Bani Adam’. 

Ketiga, selain beberapa kata kunci yang dapat mengembalikan kita pada pemahaman dan pentafsiran yang benar, kita pun dapat memperjelas makna dan maksud peristiwa atau dialog tersebut. Hal pengambilan kesaksian daripada Bani Adam dilakukan supaya pada hari kiamat nanti, mereka tidak mengatakan bahawa  mereka adalah orang-orang yang lalai terhadap keesaan Tuhan atau mereka akan mengatakan: bahawa orang-orang tua mereka telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedangkan mereka pula ialah anak-anak keturunan yang datang sesudah itu. Maka nanti mereka akan bertanya mengapa Tuhan mahu membinasakan mereka kerana perbuatan orang-orang tua mereka yang sesat sejak dahulu. 

Jelas sekali, bahawa maksud daripada peristiwa atau dialog tersebut ditujukan kepada ‘Bani Adam’ yang sedang menjalani kehidupan di dunia,BUKANkepada para janin yang belum jelas tentang kehidupannya, kelahirannya, kesihatannya dan lingkungan di mana mereka akan lahir dan hidup. Bahkan para janin sendiri tidak mengenal siapa ibu mereka, kerana masih dalam kandungan. Bagaimanakah mungkin para janin telah mengetahui akan cerita orang-orang tua mereka yang musyrik? Mustahil atau tidak ilmiah. 

Mungkin anda masih ada keraguan dengan apa yang penulis jelaskan di atas. Mari kita gunakan ayat-ayat Tuhan yang lainnya untuk memperkuat renungan tersebut. Satu hal yang perlu ditegaskan lagi, bahawa tidak mungkin ayat-ayat Tuhan itu saling bertentangan dan tidak mungkin kontra dengan prinsip-prinsip ilmiah dan akal manusia. 

Pertama, sejak dalam kandungan hingga manusia terlahir ke muka bumi, dia tidak mengetahui sesuatu apa pun. Dia dilahirkan seperti selembar kertas putih yang bersih. Seiring dengan pertumbuhan dirinya, secara perlahan-lahan dia mula mengetahui sesuatu dengan bantuan tiga sarana dasar yang diberikan Tuhan pada setiap individu, iaitu pendengaran, penglihatan dan akal fikiran. Ketiga-tiga sarana ini diberikan kepada manusiaagar manusia bersyukur. 

Dengan itu jelaslah bahawa manusia pada dasarnya tidak memiliki pengetahuan apa pun sebelum pendengaran, penglihatan dan akal fikirannya dapat berfungsi dengan maksimal. Maka, sangatlah tidak rasional jika dikatakan bahawa manusia sudah mampu mengenal Tuhan dan bersaksi akan keesaan Tuhan ketika dia masih dalam kandungan. Tidak mungkin manusia sudah beriman sejak dia masih berupa janin. Bukankah menjadi orang beriman itu memiliki akibat spiritual tersendiri dalam hidup dan kehidupannya? Bagaimana seseorang yang sudah beriman dalam rahim ibunya, kemudian ia dilahirkan, tumbuh dan besar menjadi seorang ateis? Apakah dia lupa bahawa dulunya dia sudah bersaksi akan keesaan Tuhan dalam rahim ibunya? Sesuatu yang tidak mungkin terjadi.  

Para pemegang ajaran agama berkeyakinan hal tersebut ialah peristiwa spiritual yang hanya disedari oleh Tuhan dan janin yang bersaksi dalam kandungan ibunya. Hal ini ialah sesuatu yang fitrah bagi manusia, siapa pun dia dan di mana pun dia. 

Sesungguhnya, penulis sependapat bahawa manusia pada fitrahnya telah memiliki kesedaran spiritual akan keesaan Tuhan selaku Sang Pencipta. Namun bukankah kesedaran spiritual seseorang sangat dipengaruhi oleh lingkungan di mana ia dilahirkan, dibesarkan dan dididik? Keluarga (orang tua) merupakan persekitaran yang sangat berpengaruh terhadap perkembangan kesedaran spiritual seseorang termasuk kesedaran tentang ketauhidan Tuhan, Tuhan Yang Maha Esa. Rasulullah Muhammad pernah mengatakan bahawa setiap bayi itu dilahirkan atas dasar fitrah. Kedua orang tuanyalah yang kemudiannya menjadikan dia seorang Yahudi, Nasrani, atau Majusi.

Sekali lagi diingatkan bahawa menjadi orang beriman ialah anugerah dan atas izin Tuhan. Menjadi orang beriman merupakan hasil dari suatu proses pembelajaran spiritual, bukan sesuatu yang diwariskan secara turun temurun. 

Kedua, untuk memperkuat renungan dan kritik di atas, mari kita ambil satu contoh kejadian, yakni diri Rasulullah Muhammad. Sejak bilakah Rasulullah Muhammad menjadi orang beriman? Adakah sejak baginda dalam kandungan, sejak masa kanak-kanak, atau sejak baginda beranjak dewasa? 

Tuhan sendiri mengatakan bahawa Dia mendapati Muhammad sebagai seorang yang bingung atau tersesat lalu Dia memberikan petunjuk kepadanya. 

Ayat ini turun di awal masa kenabian Muhammad dan Tuhan menceritakan bagaimana keadaan Muhammad sebelum mendapat perlindungan dan mendapat petunjuk (wahyu) daripada Tuhan. Dengan tegas dikatakan bahawa Dia mendapati kamu (Muhammad) dalam keadaan bingung atau tersesat iaitu tidak tahu tentang jalan kebenaran, lalu Tuhan memberinya wahyu sebagai petunjuk. Dengan demikian, lebih kurang 40 tahun lamanya beliau hidup pada jalan kesesatan, jalan yang dimurkai Tuhan sehinggalah Tuhan memberinya hidayah jalan kebenaran.

Sebelum itu Muhammad tidak mengetahui apakah Al-Kitab (Al-Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Al-Quran itu dijadikan cahaya oleh Tuhan dan dengan cahaya itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya orang yang telah mendapat wahyu (Al-Quran) itu ialah orang yang benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.

Jelaslah bahawa seorang Rasul yang bernama Muhammad juga tidak mengetahui apakah iman itu sebelum mendapat wahyu (petunjuk) dari Tuhan. Sehingga sekitar empat puluh tahun lamanya, beliau belum menjadi orang beriman. Tanpa mempelajari dan memahami wahyu Tuhan, seseorang tidak akan mengetahui apakah iman itu secara benar. Yang banyak terjadi ialah orang merasa atau mengaku dirinya beriman, padahal sedikit pun tidak memahami wahyu Al-Quran. 

Tuhan meminta kita untuk memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan iaitu kitab-kitab. Tuhan memerintahkan mereka mengingkari taghut tapi mereka tetap berhakim kepada taghut.

Kembali kepada renungan dasar sebelumnya; ‘Sejak Bilakah Anda beriman?”. Dengan beberapa ayat di atas seharusnya dapat menggugurkan ajaran agama yang selama ini diyakini oleh majoriti umat Islam, bahawa manusia telah beriman (mengenal Tuhan) sejak dalam kandungan ibunya. Sedangkan Rasulullah Muhammad sendiri hanya memahami makna iman itu setelah mendapat wahyu dan BUKAN sejak dalam kandungan, apalagi kita umatnya atau mereka yang hidup pada zaman dahulu dan mereka yang akan lahir kemudian. Tentu saja prinsip ini berlaku bagi segenap manusia yang ingin beriman menurut petunjuk wahyu Al-Quran, BUKAN menurut pendapat atau ajaran agama nenek moyang kita. 

Kenyataannya, Abu Bakar dan beberapa orang sahabat dikatakan beriman setelah mereka mengikrarkan keimanannya (bersyahadat) di hadapan Rasulullah Muhammad, baik keimanannya terhadap ketauhidan Tuhan, mahupun terhadap kerasulan Muhammad SAW. Jadi, berimannya seseorang dimulai dengan kesedaran akan jati dirinya sebagai hamba yang harus tunduk patuh hanya kepada Tuhan, Sang Pencipta dirinya. Dia menyedari bahawa, “Tidak ada ilah yang patut untuk ditaati kehendak dan perintah-Nya selain Tuhan”. Kesedaran ini kemudian dipersaksikannya secara lisan dalam satu kalimat syahadat, “Saya bersaksi bahawa tidak ada ilah selain Tuhan; Asyhadu an lā ilāha illa Allah”. Syahadat tauhid ini diikuti dengan syahadat Rasul, seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar dan para sahabat lainnya.  

Kesaksian lisan tersebut harus diikrarkan di hadapan Rasulullah sebagai Saksi Tuhan atau di hadapan orang-orang yang lebih dahulu beriman (sebagai saksi-saksi Tuhan dan Rasul-Nya). Ketika seseorang telah mengikrarkan kalimat tauhid tersebut dengan penuh kesedaran dan tanpa paksaan dari sesiapa pun, maka sejak saat itulah seseorang dikatakan menjadi manusia beriman. Tanpa kesedaran dan pernyataan lisan akan keimanan kepada Tuhan dan Rasul-Nya yang diikrarkan di hadapan orang-orang beriman sebagai saksi, maka seseorang belum dapat dikatakan beriman. Inilah bentuk perjanjian antara manusia sebagai hamba dengan Tuhan sebagai Sang Tuan.

Orang-orang yang berjanji setia kepada Rasul, mereka juga berjanji setia kepada Tuhan. Barang siapa yang melanggar janjinya nescaya akibat daripada pelanggaran janji itu akan menimpa dirinya sendiri. Barang siapa yang menepati janjinya kepada Tuhan maka Tuhan akan memberinya ganjaran yang besar. 

Kesedaran dan ikrar kesaksian (perjanjian) tersebut sangat penting, kerana itulah permulaan seseorang menjadi ‘manusia baru’ iaitu manusia yang terlahir kembali dalam satu kesedaran dan keyakinan baru, meninggalkan kesedaran spiritual yang musyrik (najis) menuju kesedaran spiritual yang tauhid (suci). Dengan demikian, seorang mukmin harus mampu menafikan semua ilah (tuan atau ideologi musyrik) dalam kehidupannya dan hanya patuh dan cinta pada Ilah Yang Esa. Inilah kesedaran dan sikap spiritual manusia beriman. Sekali lagi, kesedaran dan sikap iman tersebut tidak terjadi pada saat seseorang masih dalam kandungan atau masa kanak-kanak. Hal ini hanya dapat dilakukan oleh mereka yang telah mampu berfikir dan bersikap dewasa.

Menjadi manusia beriman haruslah atas dasar kesedaran ilmu (wahyu), bukan atas dasar ajaran dan tradisi nenek moyang yang tidak jelas dasar ilmunya. Mari meyakini ajaran Din Al-Islam dengan dasar ilmu (rasional), jangan mengikuti ajaran yang tidak berdasarkan kebenaran dan tidak mampu diterima akal sihat. Kalau anda tidak memaksimumkan pendengaran, penglihatan dan akal fikiran anda, maka nilai anda di sisi Tuhan tidak lebih mulia daripada binatang ternak bahkan lebih hina daripada makhluk melata.

Tuhan memberi ancaman-Nya kepada manusia yang mempunyai akal fikiran tetapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Tuhan, mempunyai mata tetapi tidak menggunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Tuhan dan mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Tuhan. Mereka ini akan dijadikan isi neraka jahannam kerana sikap mereka lebih sesat daripada seekor binatang ternak. Mereka itulah orang-orang yang lalai. 

Akibat daripada sikap manusia yang lebih hina daripada binatang ternak tersebut, maka umat manusia hidup dalam kehidupan jahannam yang persis sama dengan kehidupan binatang liar dan buas, kehidupan yang semata-mata berorientasikan kepuasan fizik material, kehidupan yang mengandalkan kekuatan fizik, kehidupan yang saling membakar dan membinasakan (mengadu domba) satu dengan yang lain. Itulah model kehidupan neraka jahannam yang ada di dunia ini. Sekarang anda sudah dapat menjawab, “Sejak Bilakah Anda Beriman?”. Jika ternyata anda belum pernah berjanji dan menyatakan keimanan anda, maka selama ini anda hanya merasa diri telah beriman. Jika anda telah mengikrarkan keimanan anda dengan penuh kesedaran, maka tentulah ada orang-orang yang menjadi saksinya. Ternyata menjadi orang beriman tidak semudah yang kita fahami selama ini. Keimanan itu harus benar-benar difahami terlebih dahulu sebelum diikrarkan secara lisan dan selanjutnya diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Semoga renungan ini dapat mencerahkan dan membersihkan kesedaran spiritual anda.

Oleh: Muhammad Shahid Zainal