Sejak Bila UEC Mula Diiktiraf?

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam kicauan atau tweet meletakkan link rasmi ke website Kementerian Pelajaran memberitahu permohonan dibuka untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ambilan 2019.

Tweet akaun peribadi pada pukul 1.20 petang tadi menjemput pemegang Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) memohon untuk PISMP.

Apa yang menarik, pemegang Unified Examination Certificate (UEC) turut dipelawa untuk memohon.

Syarat kelayakan memohon bagi pemegang UEC ialah sekurang-kurangnya tiga gred kepujian di peringkat Sijil Senior Middle Level (UEC-SML).

Ini agak pelik kerana pengiktirafan UEC sebelum ini menjadi polemik dalam masyarakat dan kemudian senyap begitu sahaja.

Rakyat pula setakat ini tidak dimaklumkan bahawa UEC yang menggunakan silibus negara Taiwan sudah diiktiraf di Malaysia.

Tinjauan Mynewshub mendapati, link pada Twitter Timbalan Menteri tersebut landing di page pismp.moe.gov.my.

Bermakna ia adalah website rasmi dan ini bermakna UEC memang telah mula digunapakai untuk pengambilan kakitangan awam.

Antara persoalan yang timbul, sejak bila UEC mula diiktiraf? Apakah ia tidak perlu melalui proses di Parlimen sebelum diterima?

Mengapa pengiktirafan ini dilakukan secara senyap sedangkan kerajaan sedar ia mendapat penentangan meluas rakyat terutama masyarakat Melayu.

Bukankah UEC juga ditolak kerana bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara?

Atau UEC memang telah mula digunakan sejak dulu dalam sesuatu pengambilan?

Andai begitu, apa yang menjadi polemik sebelum ini jika UEC memang telah digunakan dalam hal tertentu.

Tweet tersebut juga mendapat maklum balas netizen yang keliru sejak bila UEC mula digunapakai secara rasmi.

Apa pun, isu itu perlu penjelasan lanjut pada Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada kadar segera. – Mynewshub.TV