Sebarang Keputusan Dalam PH Harus Dibincangkan Dengan Majlis Presiden

SABAK BERNAM – Sebarang keputusan termasuk jalinan kerjasama antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) seharusnya dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis…

SABAK BERNAM – Sebarang keputusan termasuk jalinan kerjasama antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) seharusnya dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis Presiden PH sebelum disebarkan kepada umum.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ini kerana PH kini telah membentuk kerajaan campuran di peringkat persekutuan maka kesemua parti di dalamnya mestilah sentiasa menampakkan kesamaan suara.

“Saya kira dalam keadaan sekarang ini, ramai juga buat pelbagai kenyataan (berkaitan PH) tapi yang penting adalah kita mesti menunjukkan suara kita yang sentiasa sama.

“Pada saya, apa juga keputusan dan kenyataan (berkaitan sebarang isu termasuk kerjasama antara parti dalam PH) patut dibincangkan dalam Majlis Presiden peringkat tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas program Jom Kembali Ke Sekolah peringkat daerah Sabak Bernam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini bahawa parti itu tidak akan teragak-agak meninggalkan PH jika usaha mencapai tujuan Malaysia Baharu diketepikan.

Ketika ditanya mengenai gesaan banyak pihak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy meletak jawatan kerana gagal mengendurkan ketegangan kaum ekoran rusuhan di sebuah kuil baru-baru ini, Rina berkata ia merupakan suara dan pendapat rakyat.

Terdahulu dalam program itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada 400 penerima dari daerah Sabak Bernam.

Sumbangan tersebut juga termasuk agihan baucar buku tulis berjumlah keseluruhan RM28,000 kepada sekolah-sekolah di daerah itu untuk diberikan kepada pelajar yang kurang berkemampuan. – BERNAMA

Loading...