Sebahagian Fasa 1 CVIA Dijangka Siap Akhir Januari 2021

KUALA LUMPUR – Status kemajuan kawasan perindustrian bagi projek pembangunan Lembah Chuping (CVIA) di Perlis kini sudah mencecah sebanyak 10 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata pembinaan kawasan perindustrian seluas 24 hektar itu yang merupakan sebahagian daripada Fasa 1 meliputi kawasan 176 hektar, sudah bermula pada 1 Jun, 2020 dan dijangka siap pada 31 Januari tahun hadapan.

“Kerja-kerja pembinaan Fasa 1 bagi keseluruhan kawasan dijangka siap pada 31 Mei, 2022,” kata Mustapa pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Kamarudin Abdun berhubung berapa peratus projek CVIA yang terletak di Perlis telah berjalan sehingga kini.

Mustapa menjelaskan Fasa 1 kawasan perindustrian terbahagi kepada dua peringkat penyiapan melibatkan kos RM184 juta dengan RM157.9 juta telah disediakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan bakinya akan dibiayai di bawah RMKe-12. 

Manakala, Fasa 2 pula meliputi kawasan seluas 811.5 hektar akan bermula pada suku ketiga tahun 2022.

Projek pembangunan CVIA telah diluluskan pada tahun 2016 di bawah RMKe-11 dengan peruntukan berjumlah RM197.9 juta dan ini adalah untuk penyediaan kemudahan infrastruktur bagi menarik pelabur ke negeri Perlis.

Selain daripada kawasan perindustrian yang dilaksanakan dalam dua fasa, komponen utama lain dalam projek pembangunan CVIA adalah Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC).

IBC dengan kos RM40 juta telah siap dibina dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran, operasi dan pemasaran bagi memudahkan para pelabur berurusan di CVIA di atas tanah seluas 2.1 hektar. 

Mengenai pelabur pula, Mustapa berkata setakat ini terdapat empat pelabur tempatan dalam kluster halal dan pendidikan yang telah menunjukkan minat untuk melabur di CVIA.

“Pelaburan tempatan ini dijangka akan membawa anggaran pelaburan masuk sebanyak RM415 juta dan mewujudkan 500 peluang pekerjaan yang terdiri daripada 150 pekerjaan mahir dan 350 pekerjaan separa mahir dalam bidang kesihatan,” jelas beliau.

Sementara itu, empat pelabur asing daripada kluster elektrik dan elektronik dan teknologi hijau telah menunjukkan minat untuk melabur di CVIA. 

“Anggaran jumlah pelaburan asing itu adalah sebanyak RM553.6 juta dengan 5,100 peluang pekerjaan bakal diwujudkan merangkumi 1,530 pekerjaan mahir dan 3,570 pekerjaan separa mahir dalam bidang elektrik dan elektronik,” kata Mustapa. – BERNAMA