SDP, Nestle Wujud Talian Bantuan Pekerja Ladang

KUALA LUMPUR – Sime Darby Plantation Berhad (SDP) dan Nestle hari ini mengumumkan kerjasama untuk menyediakan satu talian bantuan yang dipertingkatkan bagi membantu pekerja yang bekerja di ladang SDP di Malaysia.

Ketua Pegawai Kelestarian SDP Dr Simon Lord berkata talian bantuan itu akan menyediakan saluran berkesan untuk pekerja melaporkan mengenai keadaan kerja, pengambilan pekerja, keselamatan dan isu lain yang mungkin memberi kesan kepada mereka secara langsung atau tidak langsung melalui saluran komunikasi berteknologi.

“Kerjasama kami dengan Nestle selari dengan komitmen SDP dalam Piagam Hak Asasi Manusianya untuk ‘menyediakan akses kepada pemulihan terhadap sesiapa yang terjejas yang mana perniagaan itu menyebabkan atau menyumbang kepada kemudaratan itu’.

“Talian bantuan yang dipertingkat itu mengukuhkan prosedur menyampaikan rungutan dan saluran pemberi maklumat sedia ada kepada semua pekerja kami dan pihak luar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Talian bantuan baharu itu akan membolehkan pekerja memilih saluran yang mereka rasakan paling selesa, sama ada menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook Messenger atau talian bebas tol, tujuh hari seminggu dengan pilihan pesanan di luar waktu pejabat.

Selain itu, beliau berkata dengan adanya talian bantuan ini, SDP tidak hanya menyediakan saluran berkesan untuk para pekerjanya membangkitkan apa-apa isu tetapi apa yang lebih penting adalah untuk memastikan isu berkenaan ditangani melalui protokol yang jelas dan perhatian berterusan untuk susulan dan penyelesaian semaksimum mungkin.

“Pemantauan bebas oleh pihak ketiga akan memberikan tahap akauntabiliti yang lebih tinggi buat kami untuk bertindak atas setiap keluhan daripada pekerja kami,” katanya.

Sementara itu, dalam jangka masa panjang, SDP dan Nestle berhasrat untuk memperkenal dan mempromosikan sistem talian bantuan itu kepada pemain lain dalam industri bagi menangani cabaran dalam menguruskan isu berkaitan tenaga buruh mereka yang besar. – BERNAMA

Loading...