SBEZ Mampu Jana Hasil Negeri Dalam Tempoh Yang Cepat

ALOR SETAR – Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, merupakan satu projek yang mampu membuahkan hasil untuk negeri dalam tempoh paling cepat, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata peruntukan untuk pembangunan ‘truck depot’ itu sememangnya dipohon melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan kerajaan negeri sangat berterima kasih di atas kelulusan peruntukan sebanyak RM25 juta khusus untuk SBEZ itu.

“Kami faham kekangan kewangan yang dihadapi Kerajaan Pusat kerana mewarisi keadaan kewangan yang sangat meruncing dan bukanlah harapan kami untuk dapat keputusan ini namun kami yakin Kerajaan Pusat tidak akan halang kerajaan negeri untuk usahakannya (pembangunan SBEZ).

“Seperti kita semua maklum, SBEZ Kota Perdana di sempadan sangat sesuai untuk tujuan pengendalian kontena dari Thailand maka kalau kita usahakan seperti dirancang menggunakan peruntukan itu saya yakin ia akan menyumbangkan kepada hasil negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 di sini, hari ini.

Sementara itu beliau berkata pihaknya juga sangat berminat dengan pembangungan pelancongan dan pengagihan 50 peratus kutipan cukai pelancongan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri akan digunakan sebaiknya untuk pelbagai aktiviti bagi memperkasakan sektor itu.

“Selama ini kutipan cukai pelancongan 100 peratus diberikan kepada Kerajaan Pusat jadi ia tidak bersifat mendorong atau memberangsangkan untuk menganjurkan aktiviti di peringkat negeri.

“Tapi dengan agihan 50 peratus ini, kita boleh gunakan untuk promosi dan saya rasa Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri akan dapat hasil lebih banyak (daripada sektor pelancongan),” kata Mukhriz.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat semalam berkata Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan perkongsian 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan dengan kerajaan negeri bagi menggiatkan lagi aktiviti pelancongan.

Menurut Lim, langkah itu akan membolehkan kerajaan negeri menerima hasil tambahan yang secara agregat dianggarkan berjumlah RM50 juta.

Mengenai peruntukan lain untuk Kedah terutama membabitkan petani yang tidak disebut secara khusus semasa perbentangan belanjawan itu, Mukhriz berkata pihaknya yakin kerajaan negeri akan tetap mendapat banyak manfaat menerusi peruntukan kepada pelbagai kementerian yang kemudiannya akan disalurkan ke peringkat negeri.

β€œDana pembangunan yang ada dalam kementerian-kementerian seperti Pertanian, Pendidikan dan Kesihatan akan sampai kepada kita… selepas ini saya akan dapat butiran terperinci daripada setiap kementerian tentang apa manfaat yang dapat untuk Kedah,” katanya. – BERNAMA