“Saya Turun, Ringgit Tetap Turun Juga!”

ANTARA tohmahan jahat Pakatan Harapan (PH) ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kononnya mata wang ringgit akan naik kadar…

ANTARA tohmahan jahat Pakatan Harapan (PH) ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kononnya mata wang ringgit akan naik kadar tukarannya jika Datuk Seri Najib Tun Razak ‘turun’!

Walhal ketika itu, ringgit merupakan antara paling kukuh di dunia namun, begitulah hebatnya fitnah jentera PH memainkan sentimen rakyat dengan dimomok konon mata wang itu ditolak peniaga di Makkah dan banyak tempat.

Justeru, tidak hairan bekas Perdana Menteri itu terus lantang mengkritik dasar ekonomi yang lemah oleh kerajaan PH berikutan penurunan nilai ringgit terus susut ke paras RM4.15 bagi setiap satu dolar Amerika Syarikat (AS).

“Sebelum PRU ke-14, pemimpin PH kata ‘Najib turun, ringgit akan naik’. Saya pelik kerana saya sudah ‘turun’ lebih empat bulan, tetapi ringgit semakin turun juga,” kata bekas menteri kewangan itu menerusi akaun Facebook beliau.

Malah serangan terhadap dirinya sebelum PRU lalu selain berkaitan nilai mata wang ringgit, PH berulang kali sebut kononnya nilai ringgit lemah pada tahun sebelum ini adalah bukti Malaysia sudah nazak dan mula jatuh bankrap.

Sebaliknya ujar Najib, trend naik turun ringgit sebelum ini sebenarnya banyak bergantung kepada perubahan harga minyak mentah dunia tetapi secara am, ringgit akan kukuh semula apabila harga petroleum naik dan sebaliknya.

Bagaimanapun menurut beliau, trend tersebut sudah bercanggah pula kerana walaupun harga minyak semakin tinggi sehingga AS$78 satu tong sekarang, ringgit tidak mengukuh sebaliknya turun 30 sen sehingga RM4.15.

“Kerisauan saya ialah jika harga minyak dunia turun dengan kuat, maka ringgit akan menerima impak agak teruk,” katanya lagi merujuk ketika baru menjadi menteri kewangan, ringgit lemah akibat krisis ekonomi dunia masa itu.

Ketika itu, mata wang tempatan turun sehingga RM3.75 berbanding dolar AS dan Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa Najib untuk segera tambatkan ringgit seperti yang beliau lakukan semasa krisis ekonomi pada 1998.

“Namun saya tidak ambil langkah itu selepas ambil kira data pelaburan asing dan daya saing eksport negara turun ketika ringgit pernah ditambat Mahathir pada 1998 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Kabinet.

“Lanjutan itu, pertumbuhan ekonomi pada tahun 2000 hingga Mahathir bersara pada akhir 2003, kurang baik. Saya tidak membuat demikian untuk menambatkan ringgit pada masa tahun 2008/2009,” tegas Najib lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan harga minyak dunia dan pemulihan ekonomi hasil pakej rangsangan ekonomi terbesar dalam sejarah negara, ringgit mengukuh sehingga di bawah paras RM3.00 berbanding dolar AS.

Ia berlaku dari 2010 hingga 2013, iaitu sebanyak 30 peratus. Pakej rangsangan ekonomi ini juga menaikkan hutang negara dan turut dibidas biarpun langkah itu sebenarnya berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia.

“Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, mata wang ringgit mengukuh setinggi itu namun jika diimbau kembali, saya tidak pun memuji diri sendiri lantaran ringgit yang kukuh kerana harga minyak mentah tinggi pada masa itu.

“Bukan semua berpunca daripada usaha kerajaan BN dan saya,” jelasnya. Ahli Parlimen Pekan itu namun berharap kerajaan PH ambil kira kebimbangan beliau mengenai nilai ringgit sekarang sebelum ia memudaratkan. – Agensi

Loading...