“Saya Tidak Bercita-Cita Tinggi Jadi PM” – Mukhriz

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan beliau tidak pernah bercita-cita tinggi untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau sebaliknya menyatakan kesediaan untuk menggalas tugas yang lebih besar dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan namun, tidak semestinya memegang jawatan nombor satu di negara ini.

“Saya terbuka (untuk berkhidmat di peringkat Persekutuan) dan sebenarnya bergantung kepada kepemimpinan ketika itu sama ada saya yang terbaik.

“Saya tidak terlalu bercita-cita tinggi, saya tidak tetapkan bahawa saya mesti menjadi Perdana Menteri satu hari nanti seperti yang dilakukan orang lain (tanpa merujuk mana-mana individu).

“Apabila khidmat saya diperlukan oleh negara untuk memimpin di peringkat Persekutuan, saya sedia dan mampu menggalas tanggungjawab itu,” katanya dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mukhriz yang merupakan Menteri Besar Kedah berkata, tiada garis masa tertentu yang dipersetujui bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.

“Mungkin ada cadangan seperti itu, tapi tiada yang dinyatakan di atas kertas atau perjanjian secara lisan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...