“Saya Tidak Akan Buat Kesilapan Jawatan PM Lagi” – Mahathir

PETALING JAYA – Dr. Mahathir Mohamad mengulangi komitmennya untuk meletak jawatan sebelum tamat penggal lima tahunnya sebagai perdana menteri, menjawab ketidakjelasan tarikh penyerahan kuasa kepada penggantinya.

“Saya telah membuat banyak kesilapan dalam melantik pengganti saya, jadi saya tidak akan buat kesilapan lagi kali ini,” katanya dalam temu bual dengan Financial Times (FT) di luar persidangan perdagangan serantau di Bangkok.

“Seseorang sangat gementar dengan hanya menyerahkan negara kepada pengganti.”

Menurut FT, beliau melahirkan rasa kecewa dengan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, yang kedua-duanya menggantikan beliau selepas persaraannya pada 2003.

Abdullah berkhidmat sebagai perdana menteri kelima dari 2003 hingga 2009, manakala Najib mengambil alih jawatan itu pada 2009 sehingga berlakunya peralihan kuasa bersejarah di mana Barisan Nasional kalah pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

“Tidak ada tarikh tepat atau masa yang disebutkan.

“Apa yang saya nyatakan ketika mereka melantik saya … ialah … Saya tidak akan kekal di sana, itu bermakna saya tidak akan menghabiskan keseluruhan penggal,” kata Mahathir.

Mahathir kekal berteka-teki berhubung tarikh untuk menyerahkan kuasanya kepada pengganti beliau, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan semalam bahawa beliau akan meletak jawatan sebelum pilihan raya umum akan datang iaitu pada 2023.

“Saya tidak boleh kata sama ada dua tahun atau tiga tahun, tetapi saya pasti akan letak jawatan seperti yang saya janjikan.

“Walaupun ramai yang meminta saya meneruskan jawatan sehingga pilihan raya akan datang, itu pandangan mereka,” katanya kepada Sydney Morning Herald. – FMT

Loading...