“Saya Terima Surat Daripada Najib” – Mahdzir

BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid tampil sebagai saksi kelima pendakwaan memberikan keterangan pada hari kedua kes rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.

BH Online melaporkan, Rosmah berhadapan dakwaan penyelewengan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar membabitkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.

Dalam keterangannya hari ini, Mahdzir berkata, Saidi ada bertemu dengannya pada tahun 2015.

Pada waktu itu, Mahdzir berkata, mereka membincangkan rancangan syarikat untuk memperkenalkan sistem hibrid solar untuk menghasilkan elektrik bagi kegunaan 369 sekolah di Sarawak.

Pada pertemuan itu, bekas menteri pendidikan itu berkata, adalah jelas bahawa Saidi merancang untuk mengambil alih sistem bekalan elektrik menggunakan generator diesel sedia ada di sekolah yang sedang dikendalikan oleh beberapa kontraktor.

Mahdzir berkata, beliau menolak cadangan Jepak ketika itu kerana kementerian masih mempunyai kontrak yang berterusan dengan kontraktor.

Selain itu, beliau mempunyai keraguan terhadap kemampuan Jepak Holdings untuk mengendalikan projek besar itu.

Bagaimanapun, pada Disember 2015, menteri itu menerima surat yang diminitkan oleh bekas perdana menteri yang mana beliau mengarahkan Mahdzir untuk melaksanakan rancangan Jepak Holdings.

Minit itu ditulis pada surat daripada Jepak Holdings kepada Najib bertarikh 23 November 2015, dengan berkata: “Bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama.” – myMetro Online

Loading...