“Saya Tak Terfikir Akan Kembali Sebagai KPN” – Hamid

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata setelah bersara secara pilihan hampir tiga tahun lepas dalam keadaan negara dilanda skandal 1MDB, beliau tidak terfikir bahawa suatu hari beliau akan kembali sebagai Ketua Polis Negara.

Beliau berkata sejak persaraannya pada 2016 itu, beliau banyak mendengar suara sumbang berhubung dengan hala tuju serta prestasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan di situ terbentuk satu tekad dalam dirinya bahawa alangkah indahnya kalau beliau sendiri yang menerajui PDRM dengan maklumat balas yang diterima itu.

“Dengan maklumat balas yang saya dapat daripada bawah, orang kampung, dapat saya menterjemahkan dapatan-dapatan dalam bentuk misi dan visi yang baharu dalam PDRM… Itulah angan-angan yang ada pada saya…. Alhamdulillah sekarang saya di sini menjadi Ketua Polis Negara,” katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama di Ibu pejabat polis Bukit Aman di sini.

Abdul Hamid yang dilantik sebagai KPN pada 4 Mei berkata keputusan yang diambilnya untuk bersara ketika memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas pada masa itu adalah tepat kerana beliau tidak dapat menerima keadaan yang berlaku setelah ditukar dari PDRM ke Jabatan Perdana Menteri.

“Saya rasa bersalah sekiranya saya meneruskan kerjaya saya. Jadi saya ambil keputusan untuk bersara seikhlas-ikhlasnya dan selepas saya bersara saya tidak lagi muncul di khalayak ramai dan saya tidak menunjukkan apa-apa tanda yang saya minat untuk mencampuri urusan dalam negara,” katanya.

“Yang pertama sekali yang ada dalam diri saya, maklumlah saya ini anak polis. Saya dilahirkan di berek polis, dibesarkan di berek polis, Arwah bapak saya seorang konstabel ataupun mata-mata, asam garam dalam kehidupan seorang polis ini telah sebati dalam diri saya,” kata Abdul Hamid yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.

Selepas bersara, katanya, beliau tidak mempunyai apa-apa perasaan bahawa suatu hari kelak akan dipanggil bekerja semula tetapi beliau bersyukur apabila berlakunya perubahan dalam pentadbiran negara.

Dengan perubahan kerajaan ekoran PRU14 pada 9 Mei tahun lepas, beliau menyandarkan harapan akan berlaku perubahan kelak yang akan membawa perubahan kepada negara.

“Saya tidak meletak apa-apa ekspektasi atau harapan apabila saya dipanggil untuk bekerja semula dan panggilan yang mengejutkan tiba pada empat atau lima hari selepas PRU14,” katanya ketika mengimbau semula rentetan peristiwa yang membawa beliau kembali ke PDRM.

Abdul Hamid berkata beliau menerima panggilan daripada seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan beliau dikehendaki datang ke pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya sebelum pukul 3 petang.

Ketika menerima panggilan itu pada pukul 11 pagi, Abdul Hamid berada di kebun sayurnya di Rembau dan terpaksa bergegas balik ke rumah untuk mencari pakaian yang sesuai untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya dapatlah sepasang kot lama yang ada di rumah, lalu saya memandu sendiri dari kampung saya terus ke Putrajaya. Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir menyatakan kepada saya bahawa beliau berkehendakkan saya kembali bertugas membantu beliau.

“Beliau menawarkan saya sebagai Pengarah Cawangan Khas dan saya telah memaklumkan kepada Tun bahawa mungkin ada sedikit kekeliruan atau masalah dari segi teknikal sebab saya dah bersara,” kata Abdul Hamid.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri memberitahu saya, beliau akan meminta Ketua Setiausaha Negara ketika itu untuk menyelesaikannya,” katanya.

Abdul Hamid diberitahu oleh Dr. Mahathir bahawa selepas 15 tahun beliau meninggalkan kerajaan dan balik menjadi Perdana Menteri, beliau mempunyai banyak masalah kerana tidak kenal “siapakah kawan, siapakah lawan” dan ini mungkin akan merencatkan apa jua perancangan yang ada pada beliau untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang dinamik mengikut kehendaknya.

Loading...