“Saya Tak Beli Pengikut Laman Sosial” – Rosyam

PETALING JAYA – Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor, 51, akur tuntutan semasa memerlukannya memanfaatkan kewujudan teknologi terkini, termasuk laman sosial.

Pemilik syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu berkata, pada mulanya dia enggan mengalah dengan ‘keperluan’ berkenaan sehingga dipujuk oleh anaknya.

“Mahu atau tidak, ketika ini setiap artis harus mengikuti perkembangan teknologi semasa. Saya sendiri pada mulanya tidak mahu memiliki laman sosial, namun anak saya mendesak saya mewujudkan juga akaun seperti Instagram.

“Alhamdulillah, selepas beberapa tahun, pengikut saya di laman sosial berkenaan, umpamanya, sudah melebihi 900,000 orang.

“Saya pula tidaklah bertindak membeli pengikut semata-mata untuk memperbanyakkan jumlahnya,” kata bintang KL Special Force itu ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbitan syarikatnya, Selafaz Cinta, di sini.

Menurut penggiat seni yang terus relevan dalam industri hiburan negara itu, dia percaya laman sosial seperti Instagram mampu menjadi medan untuknya memberikan inspirasi kepada orang ramai.

“Saya menggunakan laman sosial untuk mempromosikan kerja seni dan perniagaan, termasuk Rosyam Mart. Saya rasa perkongsian sebegitu mampu memberikan inspirasi buat orang lain.

“Saya juga selesa menjadi diri sendiri di Instagram, tanpa secalit solekan. Memang anak ada menyarankan saya membuat suntingan pada gambar yang digunakan di laman terbabit, menggunakan pelbagai aplikasi tersedia, namun saya tidak mahu berbuat begitu.

“Saya juga tidak terdesak untuk menghasilkan video yang keterlaluan semata-mata nak jadi viral,” kata Rosyam yang mula berkongsi pelbagai perkembangan diri dan kerjaya serta jenaka di laman sosial itu pada penghujung 2012. – BH ONLINE

Loading...