“Saya Pernah Dibuli Di Sekolah” – Mahathir

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan seorang pemimpin yang disegani yang sering kali dilihat tegas melakukan sesuatu perkara dengan caranya yang tersendiri.

Malah beliau juga merupakan antara Perdana Menteri yang berani dan lantang bersuara menegur pemimpin-pemimpin kuasa besar di persidangan antarabangsa.

Walaupun beliau seorang yang berani, namun Dr. Mahathir ketika ditemu ramah sebuah stesen radio mendedahkan bahawa dia bukanlah seorang yang kuat seperti sekarang kerana beliau juga pernah dibuli ketika waktu kecil.

Beliau yang kini berusia 94 tahun memberitahu bahawa salah seorang pembuli adalah jirannya.

“Saya pernah dibuli. Saya beli belon, 2 sen dapat tiga belon. Saya jual satu belon (harga) 1 sen.

“Jadi, kawan saya akan membawa saya ke kantin dan saya kena beli nasi daripada dia. Saya takut sebab dia kuat. Jadi dulu tu kadang-kadang kita kena buli lah,” katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman tersebut ketika ditanya sekiranya nakal pada zaman kanak-kanaknya.

Dr. Mahathir juga berkongsi kisah zaman mudanya semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu apabila beliau menjual pisang goreng dan kayu api untuk membantu keluarganya.

Menurutnya, tidak ramai rakannya pada zaman persekolahan yang masih hidup lagi.

“Semua kawan-kawan lama saya dah meninggal. Cuma ada dua orang saja,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, kedua-duanya, Khalid dan Osman kini berumur 90-an dan setiap kali pulang ke Alor Setar, Kedah, beliau kadang-kadang akan melawat mereka.

Beliau juga berkongsi hidangan nasi kandar kegemarannya berlaukkan kari daging lembu, sesuatu yang sukar diperoleh ketika zaman kanak-kanak dan remajanya.

Tambah Dr. Mahathir, lagu kegemarannya adalah lagu yang didendangkan oleh P Ramlee walaupun beliau tidak mengingat tajuk lagu yang dinyanyikan oleh seniman tersebut.

Loading...