“Saya Minta Maaf Kerana Untungkan Taikun” – Mahathir

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui terpaksa mengenakan cukai kepada rakyat semasa krisis kewangan 1997-1998 bagi menyelamatkan taikun-taikun di Malaysia.

Namun, kata Perdana Menteri, ia memang menjadi cara negara ini menyelesaikan krisis dengan menolong taikun walaupun kerajaan boleh untuk tidak menolong mereka.

Katanya, 0 tahun dahulu, taikun-taikun dibunuh dan harta mereka dirampas di beberapa buah negara.

Semua perniagaan dan perusahaan taikun itu akan diambil oleh pemerintah dengan harapan 100% dari keuntungan akan diperolehi oleh kerajaan.

Jelasnya, kerajaan perlu menolong taikun, jika tidak, perniagaan taikun akan rugi, gagal dan terpaksa ditutup dan akhirnya semua kakitangan – sama ada yang kaya dan tidak kaya akan menganggur.

“Dan, kerajaan pula akan hilang cukai korporat dan cukai pendapatan kerana sebahagian besar cukai dibayar oleh taikun. Sebahagian besar dari dana kerajaan akan hilang. Operasi dan pembangunan negara tidak dapat diteruskan. Segala infrastruktur tidak dapat dibangunkan.

“Dalam keadaan kehilangan cukai ke atas taikun pun kerajaan terpaksa mengenakan cukai kepada yang bukan ditakrif sebagai taikun. Setelah membayar cukai oleh bukan taikun, mereka akan masuk dalam golongan mereka yang miskin,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan boleh sahaja menghalau keluar semua taikun ini dengan tidak menolong mereka.

“Biar mereka bankrap. Kita akan tolong yang bukan taikun sahaja.

“Tetapi dengan apakah yang kita hendak tolong bukan taikun ini selepas semua taikun tidak dapat bayar cukai. Itu soalannya?” hujahnya sambil minta maaf kerana tindakan beliau yang menguntungkan taikun semasa menangani krisis kewangan 1997-1998. – MalaysiaGazette

Loading...