“Saya Masih Boleh Simpan Waytha Moorthy” – Mahathir

PUTRAJAYA – “Saya tak nampak ada masalah, jadi saya masih boleh simpan dia sebagai menteri.” 

Itu reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai desakan pelbagai pihak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy dipecat. 

Ini berikutan menteri berkenaan dilihat gagal mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, sehingga tercetusnya pelbagai isu sensitif termasuk menyentuh perkauman dan agama. 

Sebelum itu, pada Januari lalu Dr. Mahathir dipetik berkata, beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukan Moorthy sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim. 

Dr. Mahathir membuat kenyataan itu berikutan peningkatan gesaan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilucutkan jawatan selepas kematian Allahyarham Muhammad Adib yang dipukul perusuh kuil di Subang Jaya, November lalu.

Jumaat lalu, Mahkamah Koroner membuat dapatan bahawa Allahyarham Muhammad Adib dipukul oleh sekumpulan individu berketurunan India yang tidak dikenali ketika berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Allahyarham ketika itu bertugas untuk memadamkan kebakaran dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, November tahun lalu.

Hakim Koroner, Rofiah Mohamad dalam keputusannya berkata, dapatan tersebut mengambil kira bahawa rusuhan tercetus akibat kemarahan bangsa India terhadap pencerobohan kuil yang dilakukan sekumpulan Melayu beberapa hari sebelum itu.

Mengenai gesaan pihak tertentu supaya peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disegerakan, Perdana Menteri berkata: “Kita tak pernah fikir perkara itu.” – UTUSAN ONLINE