Saya Mahu Sertai PPBM – Rafidah

KUALA LUMPUR – Bekas orang kuat UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pemimpin veteran yang pernah menyandang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ketua Wanita UMNO itu berkata, beliau sudah menyampaikan hasrat itu kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya mahu sertai PPBM. Saya dah beritahu Perdana Menteri, namun buat masa ini saya belum sempat untuk mendapatkan dan mengisi borang keahlian.

“Pada saya, di mana hati kita berada itu lebih penting. Menandatangani borang itu hanya simbolik (menyertai parti),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Simposium Institut Pentadbir dan Setiausaha Bertauliah Malaysia (MAICSA) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sudah menyertai PPBM seperti yang dilakukan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed.

Rafidah digugurkan keahlian UMNO bersama dua bekas menteri iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim pada 5 Mei lalu, kerana menyokong PH serta menghentam parti itu.

Mustapa pula menyertai PPBM pada 26 Oktober lalu selepas mengumumkan keluar daripada UMNO pada 18 September.

Rafidah bagaimanapun berang apabila dikaitkan dengan Mustapa dan menegaskan, enggan namanya diletak bersama-sama dengan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

“Jangan letakkan saya dalam satu kumpulan yang sama dengan Tok Pa (Mustapa).

“Saya Rafidah Aziz. Saya putuskan apa saya nak buat. Saya tak ikut orang.

“Saya tak kisah apa mereka nak buat, nak lompat katak atau apa saja. Saya bukan nak sertai PPBM kerana ada orang bodoh nak sertainya,” katanya dalam nada tegas.

Ditanya sama ada ditawarkan jawatan dalam PPBM, Rafidah berkata, beliau membantu Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana merasakan perlunya perubahan kerajaan, bukan untuk jawatan.

“Perdana Menteri kenal saya. Jika beliau pancing saya dengan apa saja, saya akan berundur. Jangan cuba rasuah saya dengan apa-apa pun.

“Memancing dengan jawatan itu rasuah dan berkait dengan kronisme. Tidak mungkin sama sekali. Saya lakukan (bantu PH) kerana negara ini perlukan perubahan.

“Saya sudah 75 tahun. Saya dah bersara. Cukup cukuplah,” katanya. – BH Online

Loading...