‘Saya Lemas’ Kata-Kata Akhir Khashoggi

KETUA siasatan di akhbar Turki, Turkish Daily Sabah memaklumkan kepada Al Jazeera bahawa kata-kata terakhir Jamal Khashoggi adalah: “Saya lemas. Cabut beg ini dari kepala saya. Saya adalah seorang klaustrofobia,” menurut audio yang dirakam di dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Klaustrofobia adalah keadaan di mana seseorang amat takutkan kepada ruang yang sempit.

Wartawan Arab Saudi itu lemas sehingga meninggal dunia, ketika beg plastik digunakan untuk menutup kepalanya, kata Nazif Karaman kepada Al Jazeera.

Karaman berkata, pembunuhan itu berlangsung kira-kira tujuh minit, menurut rakaman itu.

Semalam, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, rakaman audio pembunuhan Khashoggi sudah dikongsi dengan Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Perancis dan Britain.

Katanya, Arab Saudi mengetahui pembunuhan Khashoggi adalah di kalangan sekumpulan 15 orang yang terbang ke Istanbul, beberapa jam sebelum insiden pada 2 Oktober lalu itu.

Menurut Karaman, kumpulan pegawai Arab Saudi itu mengalas lantai dengan beg plastik sebelum mengerat jasad Khashoggi dalam tempoh 15 minit dengan diketuai ketua Lembaga Forensik Saintifik Arab Saudi, Salah al-Tubaigy.

Kenyataan Karaman diterbitkan, ketika polis Turki menamatkan usaha pencarian mayat mangsa, namun siasatan jenayah terhadap pembunuhan Khashoggi akan diteruskan, kata sumber kepada Al Jazeera, semalam.

Kesan asid turut dijumpai di kediaman konsul jeneral Arab Saudi di Istanbul di mana mayat itu dipercayai dilupuskan dengan bahan kimia.

Karaman berkata, Daily Sabah tidak lama lagi akan menerbitkan beberapa gambar peralatan yang dibawa masuk ke dalam negara dan digunakan kumpulan pembunuh Arab Saudi itu.

Katanya, akhbar itu akan turut menerbitkan beberapa rakaman yang merekodkan saat-saat akhir hayat Khashoggi. – Agensi/ Al Jazeera/myMetro Online

Loading...