“Saya Kini Berada Di Saf Paling Depan Dalam UMNO”

SEDIA… Tan Sri Annuar Musa menyifatkan penawaran dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang sebagai satu perjuangan yang akan menempuh ujian getir.

Ketua Penerangan UMNO itu mengakui tidak pernah terfikir untuk bertanding jawatan nombor dua parti berkenaan sehinggalah UMNO hilang kuasa pemerintahan pada 9 Mei lalu.

Jelasnya, kekalahan tersebut merupakan ujian paling besar UMNO apabila tidak lagi memegang tampuk pemerintahan yang telah dikuasai sejak tujuh dekad lalu.

Annuar berkata, sejak parti tersebut kehilangan nama-nama besar yang selama ini menggerakkan UMNO, kini tiba masanya untuk beliau pula tampil ke hadapan untuk berbakti pada parti.

“Dalam tempoh 24 bulan lalu, parti keramat ini telah kehilangan naib presiden, timbalan presiden dan terbaru Presiden UMNO.

“Melihat di sekeliling saf kepimpinan parti UMNO, kini rupanya saya orang paling senior dalam parti dan berada di saf paling hadapan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya, malam tadi.

Annuar bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO menentang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ahli UMNO Bahagian Pekan, Mohd Afnalizam Mohd Salim pada pemilihan akan datang.

Ujar Annuar, selama ini beliau setia dan reda berada di saf belakang biarpun sudah 31 tahun menjadi Ketua UMNO Bahagian dan 28 tahun sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tambahnya, selepas 10 tahun memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, beliau tetap setia dengan parti sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) dan ahli parlimen biasa.

“Saya adalah salah seorang ahli penaja UMNO (Baru), membina semula UMNO daripada runtuhan perebutan kuasa pada 1987 di antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Malah, saya berselang-seli menang dan kalah bertanding di dalam PRU, namun perjuangan parti tidak pernah kendur dan pantang saya berundur,” jelasnya yang memegang nombor Ahli Seumur Hidup 00000124 daripada lebih 3.5 juta ahli UMNO kini.

Bagi Annuar, inilah masanya untuk beliau menawar diri sebagai calon Timbalan Presiden UMNO membantu pucuk pimpinan dan presiden parti dalam usaha memperkasakan semula UMNO.

Justeru, beliau tidak akan mengambil pendekatan melarikan diri daripada perjuangan yang perlu dilalui UMNO untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

“Dalam situasi sebegini, apakah saya harus lari menyelamatkan diri atau cari jalan senang melepaskan beban kepimpinan ini kepada orang lain serta terus berteori dan menuding jari?

“Tidak sama sekali. Saya harus menawarkan diri, biarpun di depannya duri dan di belakangnya api, saya memilih untuk menjulang bersatu, setia, berkhidmat,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata perti berkenaan perlu membuka luas pintu dan jendela kepimpinannya kepada pewaris muda kerana merekalah harapan parti agar Sang Saka Bangsa terus dijulang setia oleh ahlinya.

Malah, beliau sanggup bekerjasama dengan Presiden serta MT UMNO bagi memastikan segala perubahan terhadap parti dapat dilakukan dengan penuh komitmen, cermat, tersusun dan bijaksana.

“Sebagai pembangkang, UMNO wajib berani, tegas dan tegar membela Islam, Bumiputera, kedaulatan Raja-Raja Melayu, perlembagaan dan keluhuran undang-undang.

“Roh dan falsafah UMNO akan terus dipertahankan, manakala pendekatan dan amalan wajib diubah, selain konsep dan penyertaan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) perlu disemak,” jelasnya lagi.

Annuar turut mengaingatkan semua ahli bahawa perubahan yang perlu dilakukan bukan sahaja pada individu tetapi juga membabitkan dasar, organisasi, strategi dan modus operandi parti. – MYNEWSHUB.CC