“Saya Dapat Sokongan Hampir Dua Pertiga Ahli Parlimen” – Anwar

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anwar dalam sidang media khas hari ini berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).

“Sebenarnya saya mendapat perkenan mengadap baginda Selasa pada jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguhkan selepas baginda menerima rawatan di IJN. 

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan ini, bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh,” katanya.

Katanya, maklumat dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas menghadap YDPA dalam masa terdekat.

“Pentadbiran ini mewakili bukan saja rakyat Melayu Bumiputera tetapi semua kaum di negara ini,” katanya.

Ditanya jumlah sokongan diperoleh, Anwar enggan mendedahkan sebaiknya mengulang pendirian memperoleh majoriti yang kukuh daripada pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.

“Konklusif, kuat dan kukuh, saya bukan bercakap mengenai 4,5,6 sokongan tetapi hampir dua pertiga ahli parlimen pelbagai parti.

“Dokumen ini tetap tidak boleh diragui, semuanya akan dimaklumkan sebaik menghadap Agong,” katanya.

Ditanya sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad ada dalam senarai itu, Anwar berkata, bekas Perdana Menteri itu tiada dalam senarai.

No (tiada), buat masa ini tiada,” katanya.

Anwar turut ditanya adakah terdapat pemimpin PKR yang berpaling tadah dan menyertai parti lain.

“Dalam senarai saya tidak nampak,” katanya. – myMetro Online

Loading...