“Saya Cuti 55 Hari Atas Kelulusan, Ikut Prosedur” – Santhara

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara, menjelaskan keberadaannya di luar negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dalam tempoh cuti yang diluluskan, selain mematuhi mematuhi prosedur Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau menyatakan memohon cuti selama 55 hari bekerja yang disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, pada 10 Disember 2020 dan diluluskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 18 Disember 2020.

Permohonan cuti itu berdasarkan kelayakan Cuti Rehat seperti ditetapkan dalam peraturan pelantikan beliau sebagai timbalan menteri, selain kelayakan Cuti Tanpa Gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan Cuti Rehat.

“Tujuan saya ke luar negara ialah bagi melawat anak-anak di New Zealand, khususnya anak saya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab, saya perlu bertemu dengan dengan anak yang berusia sembilan tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat itu setelah hampir setahun tidak berjumpa,” katanya yang turut memaklumkan perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan.

Santhara menegaskan ke luar negara sebelum PKP kedua diumumkan di Malaysia, iaitu selepas menghadiri semua sidang Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau menafikan tuduhan keluar dan masuk (ulang-alik) ke Malaysia seperti dinyatakan pihak tertentu menerusi media sosial yang turut dilaporkan sebuah portal berita. 

Ahli Parlimen Segamat itu juga akan membuat laporan polis susulan tuduhan yang disifatkan menjejaskan reputasinya sebagai timbalan menteri dan ahli Parlimen. – BERNAMA