“Saya Bukan Khianat Hanya Kerana Kosongkan Kerusi”

PORT DICKSON – Bekas Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah sekali lagi menegaskan beliau bukanlah pengkhianat kerana mengosongkan kerusi berkenaan hanya semata-mata untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Sebaliknya, beliau berkata tindakan itu diambil demi kemajuan Port Dickson dan untuk manfaat keseluruhan penduduknya memandangkan Ketua Umum PKR itu akan diangkat menjadi perdana menteri yang kelapan.

“Saya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih kurang 40 tahun dengan cogan kata sedia berkorban. Saya bukan macam orang lain…kalau saya ingin jadi seorang pengkhianat, saya akan beri laluan dan saya pergi…itu boleh dikatakan pengkhianatan. Saya tak, saya hanya beri laluan kepada Anwar dan saya kekal di sini dan menjaga pusat khidmat ini.

“Kalau orang kata saya (letak jawatan itu) berbaloi, memang berbaloi sebab dengan saya sebagai wakil Datuk Seri Anwar dan dia sebagai anggota Parlimen dan bakal perdana menteri, siapa yang akan dapat manfaat lebih…penduduk Port Dickson. Mereka kena faham saya punya pengorbanan dan saya hilang elaun, gaji dan semua keistimewaan…jadi orang kata (saya) pengkhianat kenapa? bukan saya lari, saya ada sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual selama 45 minit bersama Bernama dan TV3 di sini hari ini.

Bekas Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tahun 2011 – 2015 dan Chef De Mision Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan 2014 itu berkata pengorbanan beliau untuk masyarakat Port Dickson adalah demi memastikan mereka mendapat manfaat yang lebih besar dan tiada sebab untuk mereka marah kepadanya.

Bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu yakin gandingannya bersama Anwar akan mampu melonjakkan lagi kawasan pantai peranginan itu ke arah yang lebih gemilang.

Katanya, meskipun telah melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan, namun beliau tetap akan memainkan peranannya sebagai wakil kepada Ketua Umum PKR itu yang bakal menjadi perdana menteri bagi memastikan penduduk di kawasan itu dibela dan dalam masa yang sama memastikan kawasan itu membangun dengan pesat.

“Itu sebab saya ada di sini, (kebajikan penduduk) mesti akan terbela sebab itulah (kalau kita melihat) satu gandingan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau jadi perdana menteri siapa jaga (Parlimen) Langkawi, dulu (bekas perdana menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) Pekan, siapa jaga Pekan.

“Itulah sebab Anwar gembira sebab dia boleh bekerjasama (dengan) saya (dan saya) betul-betul berminat nak tolong orang Port Dickson. Ini satu gandingan yang akan beri lebih manfaat kepada penduduk Port Dickson,” katanya.

Dalam pada itu, Danyal Balagopal yang berhasrat hendak menjadikan Port Dickson sebagai pusat kecemerlangan pelancongan itu mahu Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, meneruskannya di samping memberi perhatian serius kepada soal kemiskinan dan pendidikan di kawasan itu.

Bagi memastikan Port Dickson dapat dibangunkan secara holistik, beliau merayu pengundi di kawasan itu memberikan sokongan kepada Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Sabtu ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan Danyal Balagopal pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada Sabtu ini.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). – BERNAMA

Loading...