Saya Bukan Klon Stacy – Elica

KUALA LUMPUR – Hampir setahun menyepikan diri, kemunculan semula juara Mentor Milenia 2017, Angelica Paujin atau Elica mencetuskan kontroversi apabila…

KUALA LUMPUR – Hampir setahun menyepikan diri, kemunculan semula juara Mentor Milenia 2017, Angelica Paujin atau Elica mencetuskan kontroversi apabila dikatakan cuba meniru Stacy.

Mempertaruhkan single kedua, Kau Lah! ciptaan Hang Nadim dan Laq, manakala lirik Bunga Cantik atau Stacy, Elica, 19, berkata dia hanya mahu tampil segar apabila berambut pendek serta diwarnakan.

“Memang ada yang beranggapan saya cuba meniru Stacy, tambahan pula saya

bernaung di bawah pengurusan Rhythm & Rhyme Entertainment yang dikendalikan dia dan suaminya, Akim Ahmad.

“Tetapi, jika hendak dibandingkan saya dengan Stacy, perbezaan antara kami memang jauh. Stacy boleh saya anggap sudah mempunyai kedudukan tersendiri, manakala saya pula baru bertapak.

“Tidak dinafikan, saya memang menjadikan Stacy sebagai inspirasi, tetapi tidak sehingga mahu meniru gayanya,” kata Elica.

Pernah muncul dengan single pertama, Bila Nanti, Elica mengakui, tuah turut memainkan peranan dalam menentukan hala tuju dan masa depannya.

Namun, katanya, biarpun gagal dengan percubaan pertama, itu bukan bermakna dia sudah mengalah.

Akui gadis kelahiran Tambunan, Sabah itu, banyak faktor membuatkan namanya lambat menyerlah, termasuk kurang bersedia ketika mula bertapak.

“Setahun saya mengambil masa untuk membuat persediaan, termasuk mencari lagu yang bersesuaian diri.

“Tidak dinafikan, risau juga jika dilupakan kerana agak lama saya mendiamkan diri.

“Namun, apabila kembali muncul, ramai yang terkejut melihat saya masih aktif.

“Memang awal dulu saya banyak mendapat tawaran persembahan, tetapi lama-kelamaan agak perlahan hingga ada yang anggap saya tidak lagi menyanyi,” katanya.

Elica berkata, dia juga semakin bersemangat untuk mempromosikan Kau Lah! kerana ingin melihat usaha terbarunya itu membuahkan hasil membanggakan. – BH Online

Loading...