“Saya Akan Tetap Bersuara” – Rais

KUALA LUMPUR – Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff menegaskan beliau akan tetap bersuara tanpa rasa takut demi kepentingan rakyat.

Malah kata Rais, beliau akan terus bercakap benar dan tidak sesekali takut untuk berbuat demikian.

“Saya belum pulih daripada pembedahan pintasan jantung, tapi saya tidak akan sesekali takut untuk bercakap benar demi kepentingan rakyat.

“Ingat, saya bukan ahli politik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, Bersatu telah melantiknya sebagai Pengerusi Biro Dasar dan Strategi sejak hari pertama pembentukan parti itu.

“(Pengerusi Bersatu Tun) Dr. Mahathir (Mohamad) sendiri mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri ahli-ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden Bersatu, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari dan lain-lain jawatan dalam parti.

“Saya tidak pernah menggelarkan diri saya sebagai Ketua Strategis Bersatu. Boleh semak ‘byline’ dalam artikel yang pernah saya tulis, saya menggunakan Ketua Dasar dan Strategi dengan jelas,” katanya.

Kelmarin Rais dalam satu forum berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenuhi keperluan rakyat sekiranya tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal.

Beliau turut menasihatkan kerajaan supaya tidak memperjuangkan pembaharuan yang tidak diinginkan rakyat seperti projek kereta terbang, kereta nasional dan Gojek.

Semalam, Dr. Mahathir menegaskan, Bersatu akan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli partinya yang didakwa membuat pengumuman yang merosakkan imej parti.

Pengerusi Bersatu itu berkata, kenyataan yang dibuat kononnya PH akan kalah adalah sesuatu yang serius dan perlu dikaji kerana ia membabitkan imej parti. – Sinar Harian