“Saya Akan Buktikan Tak Bersalah!” – Sanjeevan

“SAYA akan membuktikan tidak bersalah di mahkamah, pertuduhan seperti ini tidak akan melunturkan semangat juang dan saya tidak akan berdiam diri melihat kemungkaran atau ketidakadilan,” kata Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk R Sri Sanjeevan.

Beliau hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menghina polis.

Sanjeevan berkata, beliau dituduh di mahkamah atas dua kes berlainan berkaitan kenyataan di Twitter terhadap pasukan polis.

“Saya sudah berhadapan banyak kes sebelum ini dan menang serta percaya kita ada kebebasan bersuara di dalam negara ini.

“Saya akan berhadapan dengan proses perbicaraan yang sewajarnya dan ingin membuktikan saya tidak bersalah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, penggunaan media sosial dan menyatakan pendapat adalah hak rakyat Malaysia mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan selagi mana tidak melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang.

“Tadi di dalam mahkamah pihak Timbalan Pendakwa Raya meminta jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan cadangkan syarat tambahan mengeluarkan arahan supaya saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga kes selesai.

“Namun syukur mahkamah tidak benarkan cadangan itu di dalam kedua-dua pertuduhan dan menolak cadangan syarat tambahan itu,” katanya. – myMetro Online

Loading...