“Satu Penghormatan, Terima Kasih Malaysia” – Nicol

KUALA LUMPUR – “Satu penghormatan, sangat gembira yang tidak terkata. Terima kasih Malaysia, di atas sokongan anda,” ungkap Datuk Nicol David selepas meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia kelmarin apabila mendapat undian sebanyak 318,943. 

Juara dunia skuasy lapan kali itu mengakui ia satu penghormatan apabila dicalonkan dalam anugerah berkenaan bersama atlet hebat daripada sukan lain. 

“Saya mendapat sokongan padu daripada semua orang di Malaysia dan juga komuniti sukan skuasy,” katanya yang dicalonkan oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) untuk anugerah berkenaan. 

Beliau yang berusia 37 tahun dan berasal dari Pulau Pinang berasa terkejut selepas dicalonkan dalam anugerah berkenaan. 

“Saya terkejut kerana berada sebaris dengan atlet handalan dunia yang lain dan saya berasa bersyukur dengan pencapaian ini.

“Saya berharap ia dapat menarik perhatian dunia mengenai sukan skuasy dan ia satu saat yang membanggakan dapat mewakili negara serta Asia,” katanya yang menduduki ranking nombor satu dunia selama sembilan tahun dari 2006 hingga 2015. 

Pemenang dua emas Sukan Komanwel dan lima emas Sukan Asia itu mengetepikan James Kehoe iaitu legenda tarik tali Ireland yang mendapat 113,120 undian, manakala atlet powerliftingUkraine, Larysa Soloviova pula di kedudukan ketiga selepas meraih 80,790 undian. 

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan tahniah kepada Nicol di atas kemenangan anugerah berkenaan. 

“Tahniah kepada Ratu Skuasy Datuk Nicol David. Satu-satunya atlet dari Asia yang tersenarai dan mendapat undian tertinggi sejak mula. Kebanggaan negara,” katanya. 

Presiden Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), Zena Wooldrige berkata, kejayaan juara lima kali Terbuka British itu adalah satu pengiktirafan tinggi. 

“Beliau mencatatkan karier yang luar biasa dengan menyaksikannya berjaya memecahkan banyak rekod dan memenangi semua kejohanan yang ada untuk mencipta nama dalam sukan ini. 

“Beliau bukan saja atlet terhebat sepanjang masa, malah menjadi contoh buat ribuan orang di seluruh dunia dan duta sejati untuk sukan kita.

“Saya juga gembira melihat sokongan yang dinikmati oleh Nicol daripada komuniti skuasy yang bersemangat dan setia dan kami semua berbangga melihat Nicol dinobatkan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia,” katanya. – myMetro Online