Sasaran Rapatkan Jurang Digital Rakyat Di Bandar, Desa

KUALA LUMPUR – Sasaran utama Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di bandar dan desa serta antara generasi muda dan tua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini penting memandangkan pandemik Covid-19 telah menimbulkan kesedaran mengenai keperluan bagi menyegerakan aspek penerimagunaan teknologi digital yang berupaya membantu melindungi rakyat daripada risiko ekonomi digital.

“Kita dijangka dapat melihat perubahan landskap ekonomi digital ke arah peningkatan literasi digital, kewujudan pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi.

“Tidak ketinggalan, aspek pengurusan perbankan dan kewangan yang lebih mudah dan teratur, akses yang lebih baik bagi pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta kemudahan mobilisasi perubatan ke pekan terpencil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai ‘10 Soalan Mengenai Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang dikeluarkan pada Rabu.

Rangka Tindakan yang menggariskan usaha dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL, telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari 2021, selain menetapkan trajektori sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia serta membina asas untuk memacu pendigitalan di seluruh negara, termasuk dalam merapatkan jurang digital.

Selain itu, Mustapa turut berkongsi contoh bagaimana perniagaan masa kini tidak lagi memerlukan aspek seperti penyewaan kedai yang sebaliknya diusahakan secara digital menerusi dalam talian di platform media sosial Facebook, Instagram atau WhatsApp dan turut merangkumi promosi produk atau perkhidmatan.

“Seluruh rantaian bekalan ini dapat bergerak secara digital sepenuhnya. (Sehubungan itu) Rangka Tindakan Ekonomi Digital ini adalah untuk rakyat dan segala yang digariskan dalam dokumen ini memberi penekanan kepada nilai berpaksikan kemanusiaan yang akan memanfaatkan semua, tidak kira masyarakat, perniagaan mahupun kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Mustapa menggesa agar semua rakyat negara ini bertindak merebut serta memanfaatkan sebaik-baiknya ruang dan peluang dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital tersebut.

“Hakikatnya, kita tiada pilihan selain menerima dan menggunapakai teknologi digital. Baik kerajaan, perniagaan mahupun setiap rakyat tanpa mengira apa jua demografi dan latar belakang, perlu memanfaatkan teknologi digital dalam segenap aspek kehidupan,” katanya.

Malah, beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan rakyat ketinggalan manakala negara tidak mampu mencapai matlamat sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab serta mampan.

Pada masa sama, Mustapa juga mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada semua pihak mengenai Rangka Tindakan Ekonomi Digital tersebut dan segala perancangan dan strateginya.

Menurut beliau, ini penting kerana pandangan serta maklum balas daripada semua pihak akan membantu memastikan kejayaan pelaksanaan rangka tindakan tersebut berserta aspirasi MyDIGITAL. – BERNAMA