Sarjan Norihan Tunjuk Perkembangan Positif

GEORGETOWN – Sarjan Norihan Tari, mula menunjukkan perkembangan positif selepas berjaya menjalani pembedahan mengeluarkan peluru semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan, berkata Norihan, 39, dilihat memberikan tindak balas apabila bercakap dengannya pagi tadi.

Sahabudin yang ditemani isteri Norihan melawatnya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Besar Pulau Pinang pagi tadi.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

“Apa yang saya boleh katakan ialah beliau menunjukkan perkembangan positif dan memberi tindak balas apabila saya bercakap dengannya. Beliau dalam keadaan stabil.

“Isteri beliau juga berada di sisinya untuk memberikan sokongan,” katanya.

Norihan menjalani pembedahan semalam bagi mengeluarkan dua daripada tiga peluru di dalam badannya, susulan insiden tembakan bersama sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, Selasa.

Pada malam Rabu, Norihan dipindahkan dari Hospital Besar Pulau Pinang bagi menjalani pembedahan dan rawatan lanjut untuk mengeluarkan kesemua peluru itu.

Dalam insiden pada jam 3.10 pagi Selasa itu, Norihan dan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berdepan kejadian tembak-menembak bersama sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis.

Badaruddin terbunuh manakala Norihan mengalami kecederaan parah. Kedua-dua mereka adalah anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, Pasukan Gerak Am (PGA) yang terbabit dalam Op Benteng.

Semalam, doktor berjaya mengeluarkan dua butir peluru dari perut Norihan, yang terletak berhampiran tulang belakang beliau.

Sebutir lagi peluru berhampiran paru-paru mangsa bagaimanapun masih berada di situ.

Menurut Sahabudin, pembedahan susulan bagi mengeluarkan peluru berkenaan adalah bergantung kepada keadaan Norihan. – BH Online