Sarimah Dedah Pernah Ditipu, Rugi RM40,000

PELAKON dan pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim mendedahkan dia pernah ditipu sehingga mengalami kerugian berjumlah RM40,000 oleh sebuah pengilang produk tempatan.

Memetik laporan Harian Metro, selebriti berusia 40 tahun itu berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar setahun yang lalu ketika dia sedang mencari pengilang untuk menghasilkan produk jenama alat soleknya.

“Saya sekadar percaya pada orang dan berurusan dengan satu pengilang tempatan. Namun, selepas hantar sampel produk pengilang itu ke Singapura, saya dapati bahan digunakan bahaya kepada kulit.

“Saya balik rumah dan menangis sepanjang malam kerana kecewa dengan apa yang berlaku. Saya bukan sekadar ditipu pengilang dan kerugian wang ringgit malah hampir putus asa untuk menghasilkan produk alat solek ketika itu,” kata Sarimah.

PELAKON dan pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim.

Meskipun begitu, ternyata rezeki benar-benar menyebelahi pihak Sarimah apabila terdapat kenalannya yang memperkenalkannya kepada pengilang yang betul dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Alhamdulillah, selepas sekian lama mencari akhirnya saya dapat berurusan dengan pengilang yang bagus untuk menghasilkan jenama alat solek itu.”

Serik dengan pengalaman ditipu, Sarimah tampil membuat pendedahan ini supaya orang ramai terutama usahawan lebih berhati-hati ketika berurusan dengan pengilang produk.

“Ia juga bersandarkan pengalaman saya sendiri di mana ramai pengilang yang menawarkan produk dengan harga murah tetapi berbahaya kepada kesihatan kulit.

“Saya juga tidak mahu buat laporan kepada pihak berkuasa kerana tidak mahu beri publisiti kepada pengilang terbabit,” ujar isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tuanku Mudzaffar itu lagi. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...