Sarawak Ambil Tindakan Sekiranya Petronas Tak Bayar Cukai Jualan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sarawak akan menyerahkan kepada undang-undang sekiranya Petronas masih tidak membayar cukai jualan lima peratus terhadap minyak dan gas yang dikeluarkan dari perairan negeri berkenaan.

Ketua Menteri, Abang Johari Openg berkata tindakan itu akan diambil sekiranya Petronas yang diberi masa sehingga akhir Oktober ini, masih gagal berbuat demikian.

“Kita serahkan kepada undang-undang. Memang ada perundingan mengenainya, dan saya serah kepada pihak akauntan kita, dia ada penyelaras cukai untuk berhubung dengan pihak Petronas. Tapi undang-undang kita jelas,” katanya kepada pemberita selepas sesi ‘town Hall’ #TanyakAbangJo menerusi program tahunan “Lan Berambeh Anak Sarawak 2019” hari ini.

Program itu dihadiri kira-kira 5,000 anak kelahiran Sarawak yang melanjutkan pengajian dan bekerja di Semenanjung.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu pembayaran royalti 20 peratus minyak dan gas kepada Sarawak, Abang Johari menjawab: “Itu saya tidak tahu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjanji.

“Sama ada mereka mahu atau tidak laksanakan, itu terpulang kepada mereka, tapi kalau mereka tidak laksanakan itu bermakna, manifesto mengelirukan (misleading). Mereka mengelirukan rakyat,” katanya.

Loading...