Saran Wujud Banyak Taska Di Tempat Kerja

KUALA LUMPUR – ZuriatCARE menyarankan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memperkemaskan sistem sokongan buat golongan ibu yang bekerja dengan mewujudkan lebih banyak taska berdekatan tempat kerja mereka.

Pengerusinya, Alia Muhammad Ali berkata, ZuriatCARE turut menyarankan Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri memastikan rumah-rumah pengasuh yang tidak berdaftar dipantau dan mengambil serius aduan yang diterima mengenai rumah pengasuh terbabit.

“Galakan ini boleh dimulakan dengan memberikan insentif pelepasan cukai yang lebih tinggi (kini RM1,000) kepada ibu bapa yang menghantar anak ke taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pengecualian cukai dan insentif kepada pengusaha taska juga patut diberikan bagi membantu mereka menampung kos operasi yang tinggi dan tidak mengenakan caj yang tinggi kepada ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau merujuk kepada kes kematian Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang berusia lima bulan ditemui mati dalam peti sejuk rumah pengasuhnya di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Alia berkata, ZuriatCARE turut berharap JKM memberi perhatian terhadap penguatkuasaan operasi taska dan rumah-rumah pengasuh agar didaftarkan secara sah dan dibuat pemantauan berkala termasuk latihan dan pemeriksaan kesihatan mental ke atas para pekerja di taska.

ZuriatCARE adalah sebuah tabung sosial yang ditubuhkan daripada dana Wakaf Korporat yang diterajui AWQAF Holdings Berhad dalam berhadapan isu keselamatan dan perlindungan buat bayi-bayi dan kanak-kanak. – Mynewshub.tv

*Video sekadar hiasan…

Loading...