Samirah Tak Setuju Duit Insurans Nazrin Diguna Bayar Hutang

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu tertuduh pertama kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, tidak membenarkan insurans suaminya itu digunakan untuk membayar hutangnya.

Saksi Pendakwaan ke-18, Dr. Abdul Aziz Hassan yang juga abang kepada Nazrin, berkata beliau sebelum itu ada menghubungi seseorang dalam Cradle Fund, bernama Datuk Salahuddin, untuk memintanya membantu dalam mengeluarkan sebahagian daripada wang insurans mangsa bagi tujuan melunaskan semua hutang adiknya itu.

Bagaimanapun, katanya, Salahuddin kemudian menghubunginya kembali dan memaklumkan Samirah Muzaffar, 44, tidak bersetuju dengan pelepasan apa-apa insurans daripada Cradle Fund dan mencadangkan supaya wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik Nazrin yang digunakan untuk membayar hutang.

Abdul Aziz yang menjawab pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, berkata beliau juga mengetahui daripada kakaknya yang memaklumkan bahawa penama bagi akaun KWSP Nazrin adalah bekas isteri adiknya itu yang bernama Iza.

Ditanya Mohd Asnawi sama ada beliau tahu berapa jumlah hutang Nazrin, Abdul Aziz mengakui tidak pasti.

“Saya tidak pasti. RM100,000… itu pun dibayangkan oleh Samirah yang menyatakan hutang kad kredit dan kereta.

“Saya tahu mengenai insurans yang diambil oleh syarikat untuk pekerjanya dan sekiranya ada kematian, syarikat akan dapat wang insurans dan ia yang akan bayar kepada keluarga pekerja selepas mendapat persetujuan ahli Lembaga Pengarah. Bila berlaku kes bunuh, semuanya akan dihentikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan terhadap Samirah dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Abdul Aziz berkata, apabila Samirah mencadangkan supaya wang caruman KWSP milik Nazrin diambil untuk membayar hutang, beliau mendapat tahu wang itu sudah dikaveat oleh adik iparnya itu dan pengeluarannya perlu mendapat persetujuan daripada tertuduh pertama.

Beliau juga turut menafikan dakwaan bahawa beliau ada wasi bagi harta adiknya berikutan beliau sendiri seorang yang muflis selain bukan waris faraid kerana Nazrin mempunyai dua anak lelaki.

Sementara itu, ketika disoal peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai kaveat terhadap akaun KWSP Nazrin, Abdul Aziz berkata beliau mengetahui mengenainya melalui kakaknya.

“Pandangan saya, kaveat adalah penahanan. Saya tidak kata satu kaveat dimasukkan. Saya kata, saya dimaklumkan Samirah masukkan kaveat terhadap duit KWSP,” katanya.

Beliau juga mengakui tidak tahu Samirah bukannya meletakkan kaveat terhadap caruman suaminya itu sebaliknya hanya menulis surat kepada KWSP untuk memaklumkan penama akaun Nazrin adalah Iza tetapi mangsa mempunyai dua anak lelaki serta mahu pengagihan dibuat mengikut kaedah faraid. – BH Online