Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Penstrukturan Semula Industri Air...

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini...

Nigeria Batal Bina Pusat...

ABUJA - Hasrat kerajaan Nigeria membangunkan sebuah kawasan khas pusat perfileman bernilai 3.2...

Lebih 3,000 Dijangka Hadir...

JOHOR BAHRU - Lebih 3,000 penjawat awam, wakil sektor swasta, badan bukan kerajaan...

Azhar Harun Mohon Maaf...

KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun memohon maaf...

Sambutan Maulidur Rasul 1439 Meriah

KUALA LUMPUR – Sambutan Maulidur Rasul 1439H hari ini seperti lazimnya dimeriahkan dengan ceramah dan perarakan berwarna-warni kontinjen daripada pelbagai lapisan masyarakat kerana kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Peserta perarakan turut melaungkan kata-kata pujian dan selawat ke atas Rasulullah SAW yang diputerakan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal, tahun 570 Masihi di Kota Makkah.

Di JOHOR, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengetuai perarakan 77 kontinjen sejauh kira-kira dua kilometer dari Bangunan Arked Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke Masjid Jamek Bandar Kluang sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri itu.

Majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan lebih 5,000 orang itu diiringi selawat sebelum syarahan bertajuk ‘Kasih Nabi Membawa Ke Syurga’ oleh Kadi Daerah Kluang, Mohd Taufik Shamsudin di masjid berkenaan.

Di MELAKA, lebih 7,000 peserta membabitkan 123 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan dan persatuan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah menengah dan sekolah rendah menyertai perarakan Maulidur Rasul di Stadium Hang Tuah.

Sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’, peserta diketuai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berarak kira-kira lima kilometer dari Stadium Hang Tuah ke Dataran Pusat Islam Majlis Agama Islam Melaka, Bukit Palah sambil mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Di KEDAH, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat ke majlis sambutan maulidur rasul peringkat negeri di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Sultan Sallehuddin turut menyampaikan anugerah Tokoh Pendakwah kepada Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Kolej Sastera dan Sains Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Shukri Ahmad, 53, Tokoh Ibu Mithali kepada Siti Aishah Ahmad ,75, dan Tokoh Imam kepada Imam Masjid Sungai Pasir, Sungai Petani, Ali Ahmad, 69.

Di SARAWAK, seramai 5,279 umat Islam mewakili 128 kontinjen pelbagai jabatan, agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan agama Islam, masjid, surau dan pasukan beruniform menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul yang berlangsung di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching.

Di SABAH, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berarak dalam hujan kira-kira 1.8 kilometer bersama 10,000 peserta daripada 83 kontinjen meliputi jabatan kerajaan, swasta dan sekolah daripada Majlis Perbandaran Tawau ke Padang Bandaran Tawau sempena perbarisan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri itu.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringkat Negeri Perak di Meru, Ipoh hari ini.

Pada sambutan itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada Ismail Abdullah dari Bukit Merah, Bagan Serai yang menerima wang tunai RM5,000, sijil, plak serta hadiah iringan.

Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Imam kepada Bahari Ahmad dari Kampung Temelong, Lenggong; Hussain Lebai Ismail dari Felda Sungai Klah, Sungkai (Anugerah Muazzin); Saad Brahim dari Kampung Masjid Batu, Kuala Kurau (Anugerah Siak) dan Muhd Nassir Thanabalan Abdullah dari Taman Seri Raiya, Ipoh (Anugerah Pendakwah). Kesemua mereka menerima wang tunai RM3,000, plak dan sijil serta hadiah iringan, masing-masing.


Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Pahang kepada Datuk Rahimah Muhammad Kawi, 80, yang banyak menganjurkan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di sekitar Jerantut dan Lipis. Beliau menerima trofi, wang tunai serta sijil.

Di SELANGOR, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul bersama-sama 4,700 peserta mewakili 94 kontinjen pelbagai agensi dari Stadium Mini Seksyen 13 ke Stadium Malawati, Shah Alam.

Pada majlis itu, Tengku Amir turut berkenan menyampaikan anugerah khas Maulidur Rasul 2017 peringkat negeri Selangor kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang menerima Anugerah Khalid Al-Walid; Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mukhyuddin Ibrahim (Tokoh Umar Abdul Aziz); pendakwah bebas, Datin Aminah Zakaria, 72, (Tokoh Saidatina Khadijah); pendakwah bebas Md Sahari Abdullah, 65, (Tokoh Imam Al-Ghazali) dan pelajar Sekolah Agama Menengah Persekutuan, Kajang, Faris Akmal Aminuddin, 17, (Tokoh Saidina Ali).

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu yang bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Di PULAU PINANG, sebanyak 40 kontinjen dari pelbagai agensi, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institut pengajian tinggi dan pertubuhan agama Islam menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Nurul Iman, Bukit Panchor Nibong Tebal di sini.

Perarakan yang bermula dari Institut Latihan Perindustrian Nibong Tebal dan berakhir di masjid itu diketuai Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mohd Rashid Hasnon dan diiringi oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus.

Pada majlis itu, turut diadakan solat sunat berjemaah dan tazkirah dhuha yang dipimpin oleh Imam Utama Masjid Daerah Seberang Perai Selatan Mohd Zaki Abdul Halim. – BERNAMA

Kategori