Salih Yaacob: Pernah Buat Sultan Menangis

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

APABILA beliau berada di atas pentas dan beraksi, sukar untuk sesiapapun menahan diri daripada ketawa. Tidak kurang juga yang hampir ’pecah perut’ ketika menyaksikan persembahan komedi solonya yang begitu bersahaja tetapi penuh dengan pelbagai mesej.

Walaupun, apa yang diperkatakan sering disulam dengan perkataan Bahasa Inggeris yang diMelayukan, namun ia tetap boleh difahami dengan mudah oleh sesiapa sahaja.

Tetapi bagi kebanyakan orang, yang paling melucukan ialah apabila melihat aksinya meniru gaya percakapan dan suara beberapa pemimpin politik tanah air terutamanya Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di saat itu, akan kelihatanlah penonton yang ketawa berdekah-dekah sebaik mendengar dialog yang disampaikannya.

Itulah kelebihan Salih Yaacob, pelakon dan pelawak terkenal tanah air yang telah 23 tahun mengabdikan diri sebagai insan seni.

Bagaimanapun, disebalik populariti itu, tidak ramai yang tahu bahawa penglibatannya dalam bidang seni itu berlaku tanpa dirancang.

”Saya pun tak sangka akan sampai ke tahap sekarang. Apa yang pasti ia bermula secara tidak sengaja,” kata bapa kepada 10 orang cahaya mata ini.

Menurut Salih, sewaktu di sekolah beliau langsung tidak berminat dalam bidang seni dan kerana itu dirinya tidak pernah terlibat dalam sebarang persembahan nyanyian, lakonan mahupun lawak jenaka.

Ekoran itulah, tiada siapa yang mengetahui bakatnya dalam bidang seni termasuk rakan-rakan karibnya di Sekolah Menengah Sungai Bedena, Selangor.

Bagaimanapun, setelah menamatkan persekolahan di tingkatan lima pada tahun 1980, kehidupannya mula berubah sebaik diterima sebagai pekerja kontrak Pentarama.

Waktu itu Pentarama merupakan persembahan hiburan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan dan terlibat dalam banyak persembahan di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar.

Sebagai penari dan penyanyi baru dalam Pentarama, sesuatu yang amat menggembirakan Salih ialah sambutan hangat yang diterima mereka setiap kali membuat persembahan.

”Maklumlah, kebanyakan persembahan dibuat di luar bandar. Sambutannya sentiasa hangat dan ini memberi semangat kepada kami untuk membuat persembahan sebaik mungkin,” kata Salih atau nama sebenarnya Mohd. Salih Yaccob.

Selaku penyanyi, beliau gemar mendendangkan lagu-lagu Hindustan serta lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Ahmad Jais dan Jamal Abdillah.

”Masa itu, saya menyanyi untuk suka-suka sahaja, asalkan dapat duit walaupaun gajinya kecil. Maklumlah, kerja lain susah nak cari pada masa itu,” ujarnya.

Turut bersama beliau dalam Pentarama ketika itu ialah penyanyi Sharifah Mona, Norsheila Amin, Hayati Tasrib dan Jamilul Hayat.

Bidan Terjun

Di sebalik penglibatan aktifnya dalam Pentarama, ada dua perkara lucu yang tidak mungkin padam dari diari hidupnya.

Pertama ialah kisah seluarnya terkoyak ketika sedang asyik menari dalam satu persembahan di Sabah pada awal tahun 1980-an.

”Ia koyak di bahagian punggung. Besar juga koyaknya. Tak hairanlah kalau penonton ketawa besar melihat apa yang berlaku,” katanya yang mengaku malu dengan insiden tersebut.

Melalui Pentarama juga menyaksikan bakat Salih sebagai pelawak bermula.

”Ia berlaku secara kebetulan apabila suatu hari, saya diminta melawak di atas pentas sebagai bidan terjun.

Tuanku menangis secara spontan di saat orang lain di sekelilingnya sedang ketawa. Bagi saya itu adalah petanda mengenai betapa kasihnya baginda terhadap Almarhumah.

”Saya betul-betul menjadi panik dan menggelabah pada waktu itu kerana tidak diberikan sebarang dialog. Tak tahu nak cakap apa ketika itu,” ujar Salih.

Bagaimanapun, apa yang pelik ialah gelagatnya dianggap lucu pula oleh penonton.

”Tak sangka penonton boleh ketawa kerana sifat menggelabah saya. Lepas itu, ada orang kata, gaya saya iras-iras pelawak S. Samsuddin dalam cerita P. Ramlee,” katanya sambil tersenyum.

Sejak itu, Salih tidak lagi takut jika diarahkan berlawak di atas pentas.

Malah dari hari itu juga, beliau sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan mencari idea dan dialog yang sesuai untuk menghidupkan persembahannya.

Satu daripada sumbangan besarnya ketika berlawak dalam Pentarama ialah membantu mempromosikan Amanah Saham Nasional di kalangan penduduk kampung.

Pada tahun 1983 Salih meninggalkan Pentarama dan menyertai Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) sebagai seorang anggota kerahan Rejimen Askar Wataniah.

Dalam kumpulan tersebut, tugasnya tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan sewaktu dalam Pentarama.

Cuma kali ini persembahan banyak ditumpukan di kem-kem tentera atau kawasan pedalaman bertujuan merapatkan hubungan rakyat dengan tentera dan kerajaan.

”Gajinya juga lebih tinggi berbanding ketika saya dalam Pentarama. Di sini juga bakat saya semakin berkembang,” katanya.

Sewaktu dalam BKTD, nama Salih semakin menonjol kerana kehebatannya berlawak dan menyanyi.

Hinggalah pada suatu hari pada tahun 1986, bakat Salih dikesan oleh penerbit rancangan Mekar Sejambak RTM, Baharuddin Kadir sewaktu menyaksikannya berlawak dan menyanyikan lagu-lagu lama dalam satu program televisyen sempena Hari Tentera Darat.

Baharuddin kemudian menawarkannya berlawak dalam program Mekar Sejambak sebanyak 13 episod.

”Selepas mendapat tawaran itu, saya berhenti daripada tentera untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang seni,” katanya yang menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Lans Koperal pada tahun 1986.

Pisang Panas

Sejak menjadi penghibur sepenuh masa, ada beberapa peristiwa penting yang tidak boleh dilupakan oleh anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini termasuk ditipu oleh beberapa promoter.

Bagaimanapun, yang paling memberi kesan di hatinya appabila melihat seorang sultan yang menonton persembahannya menitiskan air mata sewaktu beliau mendendangkan lagu ’Di Manakan Ku Cari Ganti’ yang dipopularkan oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

”Sebelum itu, saya melihat baginda begitu girang sekali melihat persembahan komedi saya di atas pentas.

”Tetapi, entah kenapa, tiba-tiba sahaja baginda menangis sebaik saja saya mendendangkan lagu tersebut,” kata beliau.

Menurut Salih, beliau percaya hati baginda tersentuh dengan lirik lagu itu selepas kemangkatan permaisuri yang amat dikasihinya.

”Tuanku menangis secara spontan di saat orang lain di sekelilingnya sedang ketawa. Bagi saya itu adalah petanda mengenai betapa kasihnya baginda terhadap Almarhumah,” katanya.

Sepanjang kariernya, Salih telah berlakon sebanyak 12 buah filem bermula dengan Jejaka Perasan pada tahun 1986 dan terbaru filem Gila-Gila Pengantin serta berlakon kira-kira 16 buah drama.

Di samping itu, beliau juga sempat menghasilkan enam buah album dengan album yang mengandungi lagu Pisang Panas mencatat kejayaan luar biasa.

”Album tersebut terjual sebanyak 370,000 unit dan ia menjadi album solo tertinggi yang pernah terjual di negara ini dan gagal dipecahkan oleh mana-mana artis solo sehingga kini,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.