Salahuddin Nafi Guna Dana Nafas Sewa Hotel PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub menjelaskan di Dewan Rakyat hari ini, 38 bilik hotel yang dibayar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) pada bulan lepas untuk program dalaman kumpulan itu, bukan aktiviti berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Katanya, dokumen Nafas menunjukkan pertubuhan tersebut mengadakan pameran bergerak untuk petani dan nelayan pada masa itu.

“Hotel ini ditempah pada 30 atau 31 Oktober,” katanya sambil menambah Nafas tidak terlibat dalam kempen PRK, tetapi hanya mengadakan kempen dalaman di Johor Bahru dan beberapa lokasi lain di Johor.

“Jika ada penyalahgunaan kuasa, tolong berikan saya bukti untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis supaya dapat disiasat bagi mengelakkan fitnah,” katanya menjawab pertanyaan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai bayaran bilik hotel dengan invoisnya diberikan kepada Nafas.

Terdahulu, Salahuddin ditanya Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) tentang perubahan yang dibuat pentadbiran baru Nafas dan langkah mencegah penyalahgunaan kuasa.

Salahuddin berkata, beliau sudah meminta SPRM meningkatkan undang-undang tertentu untuk mengawal selia Nafas supaya pertubuhan itu dapat bertukar daripada koperasi kepada badan awam.

“Supaya ia menjadi lebih telus,” katanya sambil menambah prosedur pembayaran itu dilakukan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, ini kerana Nafas disiasat SPRM dan polis atas dakwaan penyalahgunaan kuasa selepas pilihan raya umum tahun lepas.

Menjawab pertanyaan Johari Abdul (PH-Sungai Petani) mengenai cara memperkembangkan Nafas bagi memastikan kebajikan 920,000 petani di bawah organisasi itu, beliau berkata, kerajaan akan terus menawarkan bantuan.

“Kita mesti menghentikan segala bentuk rasuah supaya pertubuhan ini dapat berkembang,” katanya.

Salahuddin baru-baru ini mengakui menulis surat kepada Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad mengesyorkan tender pertanian padi bernilai RM1.4 bilion diberi kepada Nafas.

Katanya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana tiada keputusan dibuat Kementerian Kewangan dan selagi tiada keputusan dibuat, proses tender terbuka masih berterusan.

“Apa yang saya lakukan (untuk Nafas) adalah mengikut peraturan ditetapkan. Itulah tanggungjawab saya. Saya bersumpah saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak ada bukti untuk membuktikan sebarang salah laku.” – FMT

Loading...