Saksi Tidak Pernah Siasat Telefon Kes Blackberry Meletup

SHAH ALAM – Saksi Ke-15 dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, beliau tidak pernah menyiasat kes membabitkan letupan telefon bimbit jenis BlackBerry.

Pegawai Penyiasat Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Abdul Halim Zulkefeli berkata, siasatannya menggunakan enjin pencarian Google juga mendapati tiada kejadian telefon bimbit BlackBerry yang meletup.

Beliau berkata, pada 14 Jun 2018, sebelum meninggalkan premis tempat kejadian, beliau ada bertanya mengenai telefon bimbit milik mangsa kepada tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44.

“Samirah ada memberitahu arwah mempunyai telefon bimbit, termasuk BlackBerry. Saya pulang untuk buat kajian mengenai telefon bimbit dan dapati ia adalah BlackBerry.

“Saya gunakan Google. Dalam kajian saya, tiada telefon bimbit jenis ini yang meletup,” katanya.

Abdul Halim berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib @ Hamid.

Beliau memberi keterangan memberi keterangan terhadap bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Abdul Halim juga berkata, keadaan fizikal BlackBerry itu juga masih baik selain tiada kesan letupan.

Katanya, bahagian dalam telefon Blackberry masih dalam keadaan elok berbanding kesan kebakaran di luar, manakala bateri telefon itu juga tidak mengalami sebarang letupan atau boleh mencetuskan kebakaran kerana jika ia meletup, akan ada sisa bertaburan serta kesan tetapi bagi kes ini, tiada semua kesan itu.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy’ri Kamaruzzaman yang keterangannya sebelum ini tidak bersetuju dengan animasi yang dikemukakan pihak pembelaan berhubung kejadian berkenaan, Abdul Halim menjelaskan, ia tidak seperti kedudukan bahan bukti yang ditemuinya.

Beliau berkata, animasi itu menunjukkan telefon bimbit berada di tepi mangsa sedangkan beliau menemuinya di kedudukan berbeza.

“Peguam bela nak beritahu ada ‘powerbank’ tetapi dalam siasatan saya, tidak jumpa apa-apa ‘powerbank’. Yang saya jumpa telefon bimbit saja.

“Kedudukan wayar sambungan yang saya jumpa ada kabel yang (merintangi) ke arah tilam, dalam animasi ada kabel bersambung dengan telefon bimbit,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan animasi yang menunjukkan api pada rambut mangsa merebak ke bahagian lain di bilik itu kerana rambut bukan bahan yang boleh mengekalkan api selain bersifat hangus.

“Ia tidak boleh bawa api iaitu menjadi obor bawa ke tempat lain,” katanya. – BH Online

Loading...