Saksi, Syed Saddiq Nafi Ikut Laluan Parti Pembangkang

KAJANG – Seorang setiausaha politik menteri hari ini menafikan beliau dan menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sengaja melalui laluan yang ditetapkan sebagai laluan parti pembangkang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dengan tujuan provokasi mereka.

Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Mohd Aizad Roslan, 38, memberitahu Mahkamah Majistret, di sini, bahawa beliau dan Syed Saddiq melalui jalan di sebelah kiri yang ditetapkan sebagai kawasan pembangkang pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Februari tahun lalu, kerana jalan itu sudah dibuka kepada umum selepas selesai proses penamaan calon.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata demikian sewaktu dirujuk rakaman video semasa disoal balas peguam Logan Narayanan yang mewakili pengendali laman blog, Papagomo, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS).

Hari ini adalah hari keempat perbicaraan kes yang dihadapi Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris atas dua pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap menteri itu.

Terdahulu, Mohd Aizad tidak bersetuju dengan cadangan seorang lagi peguam, Nik Saiful Adli Burhan bahawa Syed Saddiq telah melanggar peraturan yang ditetapkan SPR apabila melalui laluan di sebelah kiri itu yang ditetapkan sebagai kawasan parti pembangkang.

Nik Saiful Adli: Setuju dengan saya berkenaan tempat berkumpul parti pada hari penamaan calon itu, di sebelah kanan adalah untuk penyokong Pakatan Harapan (PH) manakala kiri adalah untuk penyokong Barisan Nasional (BN).

Mohd Aizad: Betul.

Nik Saiful Adli: Tadi kamu katakan YB (Syed Saddiq) pergi ke sana atas kapasiti Ketua Armada dan penyokong parti.

Mohd Aizad: Betul.

Nik Saiful Adli: Saya katakan bahawa semua penyokong dari mana-mana parti perlu ikut arahan SPR. Dan antara arahan SPR adalah mengenai laluan penyokong. Setuju?

Mohd Aizad: Setuju.

Nik Saiful Adli: Setuju atau tidak YB telah langgar arahan SPR apabila melalui laluan kiri?

Mohd Aizad: Tidak setuju.

Mohd Aizat juga tidak bersetuju dengan cadangan Nik Saiful Adli bahawa tindakan Papagomo yang meletakkan tangan di atas bahu menteri itu adalah bertujuan menyekat penyokong BN lain daripada menyerang Syed Saddiq.

Papagamo yang juga Exco Pemuda UMNO didakwa mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut “ko bodoh” bagi maksud mengganggu kesantunannya di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada 11.05 pagi, 16 Februari tahun lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, OKS didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher dan bahu Ketua ARMADA itu pada masa, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kejadian itu didakwa berlaku pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada 16 Februari 2019.

Perbicaraan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli bersambung esok.

Loading...