Saksi Sahkan Derma RM2.6 Bilion Keluarga Raja Arab Kepada Najib

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu saksi pembelaan kesembilan perbicaraan salah guna dana RM42 juta SRC International bahawa beliau ke Riyadh bagi mengesahkan ketulenan dokumen yang didakwa merupakan surat daripada putera Arab Saudi.

Penolong Pesuruhjaya Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, Mohd Nasharudin Amir, 48, berkata, beliau ke negara itu bersama beberapa pegawai lain termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki serta bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Nasharudin memberitahu mahkamah beliau bertolak ke Arab Saudi pada 27 November 2015 bersama rombongan dan sampai di sana pada 28 November.

Azam pula tiba di Ridyah pada 29 November, sehari selepas beliau dan rombongan lain sampai ekoran Azam sebelum itu berada di Abu Dhabi.

Menurut Nasharuddin, dalam satu perjumpaan di sebuah kediaman yang digambarkannya seperti ‘istana’ pada 29 November 2015, beliau bersama Azam dan Dzulkifli bertemu lelaki Arab bernama Saud Abdul Aziz dan Abdullah Al Koman.

Menurutnya, pada mulanya beliau tidak mengetahui siapa Saud dan hanya mengenali lelaki itu sebagai kerabat putera Arab Saudi selepas memperkenalkan dirinya.

Dalam perjumpaan itu juga seorang lagi lelaki Arab, memperkenalkan diri sebagai Abdullah Al Koman, seorang ejen udang-undang dengan menunjukkan pengenalannya kepada pegawai perakam SPRM, Haraz.

Nasharudin memberitahu mahkamah lagi, ketika sesi rakaman dilakukan, ia dibuat dalam satu bilik dan hanya tiga orang berada di dalamnya termasuk dia sendiri, pegawai perakam Haraz dan Abdullah Al Koman yang fasih berbahasa Inggeris.

Nasharudin memberitahu mahkamah, dia bagaimanapun tidak menumpukan sepenuh perhatian pada rakaman itu kerana turut melakukan pemantauan di luar bilik.

Menurutnya, dia tidak mahu mengganggu tugas pegawai perakam ketika sesi rakaman dan pengesahan bagi menentukan kesahihan dokumen yang dikatakan merupakan surat daripada putera Arab Saudi itu.

Namun menurutnya, dia masih berada di kawasan bilik itu pada sesi rakaman yang dilakukan.

Ditanya peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengapa pegawai perakam lain melakukan tugasan itu dan bukan beliau sendiri, Nasharudin berkata, berkemungkinan pegawai itu lebih fasih berbahasa Inggeris.

Nasharudin berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh Muhammad Shafee.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pasukan pembelaan untuk menemubual Nasharudin terlebih dahulu sebelum beliau memberikan keterangan di mahkamah.

Nasharudin: Saya tak mahu ditemuduga kerana saya tak terlibat dalam penyiasatan SRC. Rosli (pegawai penyiasat SPRM untuk kes RM42 juta SRC) menghubungi saya. Saya tak terlibat dalam penyiasatan SRC, jadi saya tak perlu memberikan keterangan.

Muhammad Shafee: Tapi sekarang kamu beri keterangan?

Nasharudin: Saya disapina.

Muhammad Shafee kemudian memaklumkan kepada Nasharudin bahawa terpulang pada mahkamah untuk menentukan sama ada sesuatu keterangan itu relevan dengan kes RM42 juta SRC atau pun tidak.

Nasharudin bersetuju dengan kenyataan Shafee itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Nazlan Mohamad Ghazali bersambung Isnin depan. – Sinar Harian

Loading...