Saksi Kata Najib Minta Gandakan Pinjaman SRC

KUALA LUMPUR – Meskipun pinjaman SRC International Sdn. Bhd. pada mulanya diluluskan pada jumlah RM1 bilion namun ia digandakan, kata bekas Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Saksi ke-45 itu memberitahu mahkamah, gandaan kepada RM2 bilion itu diminta sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut dinyatakan dalam keterangannya bertulisnya, Najib menyuarakan permintaan tersebut  dalam sebuah pertemuan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 2011.

“Selepas itu, pernah sekali ketika berjumpa Najib di Pejabat Perdana Menteri untuk tugas rasmi Kementerian Kewangan, Najib telah meminta saya percepatkan kelulusan permohonan pinjaman SRC dengan KWAP.

“Beliau berkata pinjaman RM2 bilion adalah memadai, bukan RM1 bilion. Perjumpaan ini hanya melibatkan kami berdua saja di pejabat PM. Saya tak ingat tarikh sebenar pertemuan itu dan tak buat sebarang catatan berkenaan arahan diberi Najib,” katanya kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Bekas  Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata, permintaan Najib itu kemudiannya disampaikan kepada panel pelaburan KWAP yang sebelum ini memutuskan memberi pinjaman RM1 bilion.

“Saya juga ingin nyatakan bahawa jika tiada komunikasi (dari) Najib kepada saya berkenaan pinjaman SRC, panel pelaburan KWAP akan kekal (beri) pinjaman RM1 bilion sahaja seperti yang telah dipertimbangkan dan diluluskan mereka,” menurutnya.

Tambah beliau, Najib kemudiannya mengarahkan  pinjaman itu dikeluarkan oleh KWAP awal 2012.

“Jaminan kerajaan diluluskan sebelum itu oleh Kabinet.

“Cuma sementara tunggu proses pengeluaran (surat jaminan), saya terima panggilan daripada Najib untuk Kementerian Kewangan keluarkan surat kepada KWAP bagi pembayaran awal (pinjaman RM2 bilion) seperti diminta SRC.

“Tarikh (panggilan Najib) tak berapa ingat. Tapi Najib suruh buat early disbursement (pembayaran awal),” ujarnya.

Loading...