Saksi Diarah ‘Bina Semula’ Bilik CEO Cradle Fund

SHAH ALAM – Seorang saksi perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau diarahkan “membina semula” tempat kejadian selepas makmal penyiasatan kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menemukan kesan petrol pada sampel kebakaran yang dianalisis.

Saksi pendakwaan ke-15, Pegawai Penyiasat Kebakaran JBPM Selangor, Abdul Halim Zulkefeli berkata hasil analisis berkenaan, telefon bimbit jenis Blackberry yang berada di atas tilam dan satu lagi telefon bimbit jenis Huawei di kaki kiri katil juga berada dalam keadaan baik dan tidak rosak.

“Pemerhatian dan pemeriksaan Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Edwin Galan Teruki menunjukkan telefon Blackberry tidak berkecai atau melengkung. Ini menunjukkan tiada kesan letupan kepada telefon berkenaan dan pemeriksaan x-ray telefon itu juga menunjukkan strukturnya dalam keadaan baik.

“Pemeriksaan saya ke atas telefon Huawei juga mendapati ia dalam keadaan baik dan tiada kesan letupan,” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Salim Soib@Hamid di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Abdul Halim berkata hasil perbincangan berhubung dapatan berkenaan, beliau diarahkan untuk “membina semula” bilik tempat kejadian.

“Pada 19 September 2018, saya bersama-sama seorang anggota polis bernama ASP Mohd Nizam pergi ke tempat kejadian untuk melakukan proses ‘membina semula’ bagi mendapatkan gambaran asal untuk mengenal pasti punca dan bagaimana kebakaran berlaku.

“Melalui proses ‘membina semula’ ini, saya dapati kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat kerana kesan kebakaran menunjukkan ia terjadi akibat sengaja dibakar dengan mengambil kira ‘berbilang api’ yang dijumpai pada bahagian kanan tilam, kanan katil dan kepala mangsa. Tiada kesan letupan ditemui daripada kedua-dua telefon bimbit di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata terdapat kesan petrol pada kepala mangsa dan kepala katil, selain terdapat kecederaan pada muka dan bahu kiri mangsa serta lubang di kepalanya.

Pada 12 Mac lepas, Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, dan 2 remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Loading...