Saksi Akui Minat Jadi Pegawai Khas Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Amhari Efendi Nazaruddin semenangnya berhasrat untuk bekerja dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Pegawai Khas Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika menceritakan bagaimana beliau boleh menjawat jawatan sebagai pegawai khas Najib.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, saksi kelapan itu berkata, beliau dihubungi Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail mengenai kekosongan jawatan pegawai khas perdana menteri ketika itu.

“Saya menzahirkan keinginan untuk bekerja dengan Najib kepada Datuk Wan Shihab tetapi saya diberitahu tiada pengambilan dan sekiranya ada, beliau akan hubungi saya semula.

“Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, Wan Shihab menghubunginya dan memberitahu bahawa pejabat perdana menteri memerlukan pegawai khas,” katanya.

Saksi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mencadangkan namanya kepada Pejabat Perdana Menteri bagi jawatan itu. – UTUSAN ONLINE