Sajat Didakwa Miliki 19 Produk Kosmetik Tak Berdaftar

JOHOR BAHRU – Usahawan kosmetik terkemuka Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 34, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Muhammad Sajjad atau turut dikenali Nur Sajat bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah Abd Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, sepasukan anggota dan pegawai unit farmasi KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda, kira-kira pukul 12 tengah hari, 15 Ogos 2018 sebelum merampas 19 jenis produk kecantikan bernilai hampir RM10,000.

Ketika pemeriksaan dilakukan, pemiliknya Nur Sajat tiada di premis berkenaan. Antara produk yang dirampas termasuklah pemutih kulit dan produk kecantikan lain.

Tindakan diambil mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984 dan merupakan satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peratutan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984.

Usahawan itu didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Johor manakala tertuduh diwakili peguam bela.

Terdahulu, peguam bela Nur Sajat memohon mahkamah menetapkan RM8,000 sebagai wang jaminan dan seorang penjamin berikutan kesalahan dilakukan tertuduh yang serius.

Bagaimanapun, Nur Sajat menerusi peguam belanya, memohon wang jaminan sebanyak RM1,500 dengan alasan anak guamnya tidak pernah ingkar arahan mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan RM7,000 sebagai jumlah wang jaminan dan seorang penjamin serta 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Nur Sajat bagaimanapun hanya menjelaskan wang jaminan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi selepas menunggu rakannya mengeluarkan wang.

Selain itu, usahawan berkenaan dilihat cuba mengelak wartawan dan jurugambar dengan menggunakan laluan lain untuk ke kaunter bayaran. – K! ONLINE