Saiz Penjawat Awam Terlalu Besar, Perlu Dikurangkan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat bahawa saiz penjawat awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Menurut Dr. Mahathir, jumlah 1.7 juta penjawat awam ketika ini membuatkan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang banyak.

“Apabila saya letak jawatan (pada 2003), jumlah anggota pentadbiran hanya 1 juta. Sekarang sudah meningkat kepada 1.7 juta orang iaitu peningkatan 700,000 orang.

“Ada organisasi ‘off the budget’ juga mempunyai anggota yang dibiayai kerajaan. Saya berpendapat bahawa saiz pentadbiran kita itu terlalu besar,” katanya dalam sesi soal jawab bersama warga Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, jumlah itu boleh dikurangkan dan diganti dengan penggunaan teknologi maklumat serta komputer.

Walaupun mengakui pengurangan itu akan menyebabkan masalah ketiadaan kerja, Dr. Mahathir berkata, ia boleh diatasi dengan membangunkan bidang pembuatan.

“Apabila kita kurangkan saiz maka akan berlaku pula masalah tidak bekerja, dan ini akan menimbulkan masalah sosial. Sebab itu kita perlu bangunkan bidang pembuatan umpamanya supaya lebih ramai yang boleh berpindah daripada bekerja dengan kerajaan kepada kerja dengan swasta.

“Ini sekaligus akan meningkatkan keupayaan mereka supaya hasil kerja mereka lebih tinggi daripada menjadi pegawai biasa dalam kerajaan,” katanya. – Sinar Harian

Loading...