Saifuddin Nasihat Zuraida Jangan Burukkan Keadaan

PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin perlu menghormati keputusan yang dicapai secara kolektif melalui mesyuarat Biro Politik parti berkenaan berhubung isu video intim yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, seperti yang dilaporkan media, mesyuarat Biro Politik parti berkenaan baru-baru ini menetapkan tiada sebarang tindakan akan diambil ke atas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, melainkan diberi surat tunjuk sebab.

Menurut Saifuddin, Zuraida tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang dilihat bertentangan dengan keputusan kolektif kerana hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Seperti mana mesyuarat biro politik yang lepas, beliau (Zuraida) ikut hadir dan keputusan Lembaga Disiplin mengenai perkara itu telah dibincangkan dan beliau ambil bahagian sama.

“Keputusan itu kolektif, lebih baik dan lebih molek hormati keputusan yang dibuat secara kolektif,” kata Saifuddin ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Pada Isnin, Zuraida dilaporkan berkata, pucuk pimpinan PKR seharusnya mengambil keputusan lebih tegas dengan memecat Haziq kerana dengan terang-terangan mengakui beliau terlibat secara langsung dengan video seks itu.

Kenyataan Zuraida lantas dibidas Naib Ketua Wanita PKR, Datin Faizah Ariffin, kerana dianggap tidak menghormati keputusan parti.

Pada 19 Jun lepas, biro politik PKR telah memberi Haziq Abdullah tempoh 14 hari untuk memberi surat tunjuk sebab, rentetan dari kemelut video seks yang melanda parti itu serta kerajaan.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pengakuan Haziq yang mendakwa mengadakan hubungan intim dengan seorang pemimpin kanan parti dan kerajaan.

Pengakuan itu susulan tersebarnya sedutan video intim pasangan sejenis di media sosial.

Haziq mendakwa, pasangannya dalam video itu ialah Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin bagaimanapun, menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan tuduhan itu berniat menjatuhkan reputasi, maruah dan kedudukannya sebagai pemimpin.

Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam reaksinya juga menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas selain yakin Azmin bukan individu yang dikaitkan dalam video lucah itu.

Perdana Menteri juga berkata, penyebaran video itu oleh pihak tidak bertanggungjawab jelas bermotifkan politik dengan tujuan untuk menjatuhkan Azmin. – Astro AWANI

Loading...