Saifuddin Hadiri Mesyuarat Tergempar ‘Deal Of The Century’

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan menghadiri mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi esok bagi membincangkan pelan damai yang dicadangkan untuk Israel dan Palestin seperti yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump minggu lepas.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Saifuddin akan menyampaikan kenyataan Malaysia dalam mesyuarat tergempar terbuka Jawatankuasa Eksekutif pada peringkat Menteri Luar OIC itu.

“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini adalah bukti komitmen tidak berbelah-bahagi negara terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menegaskan semula peranan OIC untuk menamatkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sejak 1967,” menurut kenyataan itu.

Satu Communique Akhir dijangka diterima pakai sebagai hasil daripada mesyuarat itu.

Pada 28 Januari lepas, Trump mengumumkan bahawa sebahagian daripada pelan damai Timur Tengah yang dikenali sebagai ‘Deal of The Century’ mencakupi pengiktirafan AS terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan AS akan mengiktiraf kedaulatan wilayah Israel yang diduduki.

Sementara itu Malaysia menyeru komuniti antarabangsa agar memberikan komitmen terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menghormati kedaulatan negara Palestin mengikut OIC dan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, menurut kenyataan itu.

“Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju bagi konflik Palestin-Israel iaitu rakyat Palestin dan Israel hidup bersama dengan aman berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin,” katanya. 

Loading...