Pelabur Asing Jual Saham, Pasaran Terus Merosot

PASARAN saham negara terus mengalami kemerosotan apabila pelabur asing menjual saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia buat minggu kelapan berturut-turut pada minggu lalu.

Lapor Berita Harian, jumlah bersih yang dijual oleh pelabur asing minggu lalu dicatatkan melebihi paras RM1 bilion buat kali kelima tahun ini pada RM1.89 bilion berdasarkan data awal daripada Bursa Malaysia tidak termasuk urus niaga luar pasaran.

Sejak 2 Mei lalu, pelabur asing telah menjual saham tempatan buat 33 hari berturut-turut sehingga 22 Jun lalu sekali gus mengatasi rekod 29 hari yang dicatatkan pada awal Januari hingga pertengahan Februari 2014.

Ketika kejatuhan terbesar FBM KLCI dalam tempoh 13 hari dagangan pada 1.61 peratus ketika perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China semakin meningkat, pelabur asing membuat jualan terbesar Selasa lalu berjumlah RM55 juta.

FBM KLCI terus merosot ke penutup terendahnya sejak Februari 2017 pada 1,692 mata Khamis lalu yang menyaksikan hari kesembilan berturut-turut indeks penanda aras susut, dengan Telekom Malaysia Bhd. (TM) menerajui saham rugi.

Dicatatkan penurunan sehingga 12 peratus ekoran kebimbangan berhubung kejatuhan harga jalur lebar.

FBM KLCI meningkat 0.11 peratus pada Jumaat, di tengah-tengah aktiviti menghias akaun sebelum suku kedua 2018 berakhir.

Namun, MIDF berkata pelabur asing menjual RM444 juta pada hari sama berikutan kebimbangan terbesar dalam kalangan pelabur asing ekoran ketegangan perdagangan yang berlaku antara Beijing dan Washington.

“Kami beranggapan bahawa perkembangan luaran ini akan terus memberi kesan kepada aliran masuk dan keluar (dana) dari Malaysia,” katanya.

FBM KLCI mengakhiri minggu lalu 3.84 peratus lebih rendah pada 1,694 mata, penurunan mingguan terbesarnya sejak Ogos 2015.

Ringgit telah mencatatkan penurunan mingguan terbesar dalam tempoh lima minggu dengan susut sebanyak 0.43 peratus kepada RM4.0022 berbanding dolar. – MYNEWSHUB.CC

Loading...