Saham RHB Meningkat Susulan Cadangan Jual Kepentingan

KUALA LUMPUR – Saham RHB Bank Bhd. di Bursa Malaysia meningkat pagi ini susulan cadangan untuk menjual sehingga 94.7 peratus sahamnya dalam RHB Insurance.

Saham itu, yang urus niaganya digantung semalam, meningkat lapan sen kepada RM5.58 dengan 2.27 juta saham bertukar tangan pada 11 pagi.

RHB Bank akan memulakan rundingan dengan Tokio Marine Asia Pte. Ltd. (Tokio Marine) untuk menjual sebanyak 94.7 peratus kepentingannya dalam RHB Insurance kepada syarikat itu.

Semalam, bank itu mengumumkan telah meperoleh kebenaran Bank Negara Malaysia untuk memulakan rundingan mengenai penjualan yang dicadangkan.

Firma penyelidikan positif dalam pengumuman tersebut, dengan menyatakan bahawa penjualan itu membolehkan RHB Bank memberi tumpuan kepada perniagaan perbankan terasnya.

MIDF Research dan AmInvestment Bank mengekalkan saranan “beli” mereka untuk RHB Bank dengan harga sasaran tidak berubah masing-masing RM6.35 dan RM6.60.

AmInvestment juga mengekalkan unjuran pendapatan ke atas RHB Bank sehingga perkembangan selanjutnya berhubung rancangan kumpulan untuk menjual saham itu.

“Ini tidak menghairankan apabila berita muncul pada awal Julai berhubung rancangan kumpulan untuk menjual kepentingannya dalam perniagaan insurans am.

“Kami positif mengenai potensi jualan kepentingannya dalam RHB Insurance kerana ia akan membuka nilai perniagaan insurans dan akan meningkatkan nisbah modal kumpulan,” katanya.

MIDF Research percaya RHB Insurance bukan pemacu utama kepada pendapatan kumpulan dan ini menjadikan penjualan itu adalah wajar.

“Kita boleh menjangkakan kumpulan akan memperoleh keuntungan daripada penjualan bagi tahun kewangan 2020.

“Oleh itu, kami positif dalam perkembangan terkini kerana keuntungan yang berpotensi, dan hakikat bahawa kumpulan dapat menumpukan lebih banyak sumber untuk mengukuhkan perniagaan perbankan terasnya,” katanya.

Loading...