Saddam Hussein Masih Lagi ‘Diburu’

BAGHDAD – Kerajaan Iraq mengarahkan aset milik lebih 4,200 bekas pegawai Presiden Saddam Hussein dan saudara-mara mereka dirampas.

Senarai bekas pegawai Parti Baath pimpinan Saddam itu disediakan agensi yang ditugas mengesan individu terbabit, termasuk saudara-mara mereka.

Allahyarham Saddam yang menjalani hukuman gantung pada 30 Disember 2006, berada di tangga teratas senarai, termasuk anak, cucu dan saudara-mara.

Selepas rejim Saddam berikutan penaklukan Amerika Syarikat pada 2003, harta milik bekas presiden itu dan kroninya diambil alih pemimpin baru Iraq, tentera dan kumpulan penyokong kerajaan baru.

Senarai itu, termasuk menteri era Saddam, ketua pasukan keselamatan, termasuk sebahagiannya yang berada dalam penjara, mereka yang sudah menjalani hukuman mati atau meninggal dunia.

Antara dalam senarai ialah Ali Hassan al-Majid iaitu sepupu Saddam; juga dikenali sebagai ‘Ali Kimia’ yang jalani hukuman gantung pada 2010 kerana didakwa mengarahkan serangan gas beracun terhadap puak Kurdish pada 1988.

Seorang lagi ialah Tareq Aziz, bekas Menteri Luar yang menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum Saddam digulingkan.

Mendiang Tareq yang beragama Kristian, dihukum mati pada 2013, namun meninggal dunia dua tahun kemudian ketika dalam tahanan.

Anaknya, Ziad, yang tinggal di Jordan, mengutuk senarai itu yang dianggapnya sebagai tindakan memenangi undi pilihan raya Iraq pada 12 Mei ini.

Ziad yang menafikan keluarganya mempunyai sebarang aset peninggalan bapanya berkata, rumah mereka di Baghdad sudah dirampas ahli politik Syiah, Ammar al-Hakim. – AFP/myMetro Online

*Video sekadar hiasan…